Tidak perlu pertikai ijazah kehormat kedoktoran diberikan kepada PM – MQA

0
17
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerima anugerah Ijazah Kehormat Doktor Perubatan daripada Presiden Universiti Nihon, Dr Naoto Kato.

CYBERJAYA – Status Nihon University yang menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Perubatan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak perlu dipertikai kerana institusi itu merupakan universiti terkemuka di Jepun.

Menurut Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), ijazah kehormat itu mempunyai nilai tersendiri yang dianugerahkan oleh universiti termasuk universiti terkemuka di dunia seperti di Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK), Australia dan negara maju lain.

“Dari segi amalan, ia merupakan penganugerahan berprestij kepada seseorang tokoh terpilih atas sumbangan besar dalam bidang tertentu, misalnya ahli akademik, pakar industri, aktivitis masyarakat serta pemimpin negara termasuk dari Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut MQA lagi, Perdana Menteri menerima anugerah Ijazah Kehormat Doktor Perubatan daripada Nihon University sebagai mengiktiraf usaha dan sumbangannya dalam memerangi pandemik Covid-19, baru-baru ini.

Katanya, MQA melaksanakan proses pengesahan pengiktirafan kelayakan luar negara berasaskan status pengiktirafan negara asal bagi kelayakan yang tidak tersenarai dalam sistem pihaknya.

“Perkara ini seperti yang terkandung dalam Surat Pekeliling MQA Bil. 6/2019: Mekanisme Baharu Pengiktirafan Kelayakan Luar Negara yang boleh diakses pada pautan https://www.mqa.gov.my/pv4/recognition.cfm,” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here