Tidak rasmi: Rafizi Ramli menang jawatan Timbalan Presiden PKR

0
24
Rafizi Ramli

CYBERJAYA – Bekas Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli menang jawatan Timbalan Presiden PKR dalam pertandingan dua penjuru pada pemilihan parti itu kali ini.

Dalam keputusan tidak rasmi yang dikongsi dilaman web rasmi Pemilihan PKR, www.pemilihankeadilan2022.com setakat pukul 10 malam semalam menunjukkan, Rafizi sudah menguasai Selangor, Johor, Kelantan, Melaka, Kedah, Negeri Sembilan, Perak, Pahang, Terengganu, Wilayah Persekutuan serta Pulau Pinang.

Kemenangan Rafizi yang juga bekas Ahli Parlimen Pandan itu diperoleh hasil kutipan undi tertinggi sebanyak 66,359 di kebanyakan cabang di negeri-negeri.

Beliau hanya gagal menyaingi pesaingnya yang juga Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, di Perlis dan Sabah yang memperoleh undi terkumpul sebanyak 47,986.

Hanya Sarawak belum mengumumkan keputusannya setakat ini, namun jumlah undian di Sarawak iaitu sekitar 1,990 undi dijangka tidak mampu mempengaruhi undian yang diperoleh Rafizi.

Malah, Saifuddin Nasution menerusi hantaran di Facebook rasminya sudah mengucapkan ucapan tahniah kepada Rafizi di atas kemenangannya itu.

Bagi jawatan Naib Presiden PKR pula, Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad; Ahli Parlimen Tanjung Malim, Chang Lih Kang; Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shaari dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dilihat memiliki peluang cerah mengisi kedudukan empat teratas bagi jawatan nombor tiga parti itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here