
NIBONG TEBAL – Tiga buah rumah mengalami kerosakan teruk akibat letupan dipercayai berpunca daripada tong gas yang bocor di Taman Cenderawasih, di sini, malam tadi.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pulau Pinang dalam satu kenyataan hari ini, sebahagian dinding rumah berkenaan runtuh dalam kejadian letupan berpunca dari sebuah rumah di taman tersebut.
Terdahulu, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 9.57 malam sebelum bergegas ke lokasi kejadian.
Sebaik tiba, pihak bomba mendapati tiga buah rumah, masing-masing berkeluasan kira-kira 74 meter persegi, mengalami kesan kemusnahan pada beberapa bahagian.
“Kesan itu seakan terkena bahan letupan di bahagian bumbang dan struktur dinding rumah yang berkemungkinan berpunca daripada kebocoran gas memasak.
“Peratusan kemusnahan pada rumah yang terlibat adalah dianggarkan kira-kira 70 peratus dan 10 peratus,” kata kenyataan tersebut.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar dan Kebajikan Negeri, Phee Boon Poh memaklumkan sekurang-kurangnya empat penghuni dilaporkan mengalami kecederaan dalam insiden itu.
Bagaimanapun maklumat berhubung keadaan mangsa masih belum diketahui setakat ini.