Warga emas dibelasah penunggang motosikal hidap sakit buah pinggang, baru jalani dialisis – kongsi anak mangsa

0
76
Tangkap layar seorang penunggang motosikal membelasah seorang warga emas di jalan raya

CYBERJAYA – Anak kepada seorang warga emas yang dibelasah oleh seorang penunggang motosikal di jalan berdekatan jejantas Padang Jawa, semalam sedih apabila bapanya yang berusia 61 tahun dipukul tanpa perasaan belas kasihan.

Menurut perkongsian anak mangsa yang dikenali sebagai Muhammad Azzali Zainoldin, ketika kejadian mangsa sedang memandu dengan ditemani isteri dan seorang cucu berusia tiga tahun setengah.

“Sebagai anak yang menguruskan ayah saya yang sedang sakit buah pinggang (dialisis), luluh hati ini melihat dia dipukul. Adakah dia layak dipukul sebegitu rupa?

“Sedih saya melihat penyebaran fitnah berlaku dengan mudahnya apabila pelbagai tuduhan diberikan. Adakah ini amalan yang dituntut dalam agama?

“Setelah disusun atur daripada saksi-saksi, kronologi kes bermula apabila ayah saya yang memandu sedang bersedia untuk pusing ke arah kanan untuk naik ke jambatan dari jalan bawah jambatan. Tanpa disedari datang sebuah motor yang agak laju memintas kereta ayah.

“Bukan untuk ke kanan menaiki jambatan tetapi dia memintas di sebelah kanan untuk terus ke Jalan Mat Raji. Disebabkan itu, suspek merasa tidak selamat dan terus memaki ayah saya dengn jeritan yang kuat,” dakwanya.

Mengulas lanjut, Muhammad Azzali berkata, sebagai seorang yang berumur , ayahnya berasa bersalah dan keluar untuk melihat apa yang telah berlaku.

Katanya, selepas diperiksa tiada sebarang pelanggaran berlaku.

“Dek kerana tidak puas hati dan melihat ayah keluar dari kereta, suspek u-turn dan kembali ke kereta ayah dan parking di sebelah kereta (bahagian penumpang). Dia terus melulu ke arah ayah dan terajang.

“Apalah kederat orang tua yang baru lepas dialisis semalam. Dia tumbang di situ. Tidak cukup lagi, dia naik atas badan ayah dan terus tidak henti-henti menumbuk muka dan sambung memijak badan ayah. Kata-kata seperti “mati kau” berulang kali disebut oleh suspek.

“Jikalau anda perasan, ayah tidak melawan kerana dia tiada daya upaya dan dia tertanya tanya apa salahnya. Dan jikalau kita perasan lagi, sewaktu dipukul ayah sedang melindungi lengan kirinya dan pinggangnya dari tercedera. Ini kerana risau tapak dialisisnya pecah atau putus.

“Mak dan anak buah berusia tiga tahun setengah yang berada di dalam kereta hanya mampu melihat seorang suami dan atoknya dipukul,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, adalah tidak logik jika seoarang individu yang berumur dan berada dalam keadaan itu menunjukkan jari lucah dan menghamburkan perkataan tidak elok.

Katanya, suspek yang mendakwa dihamburkan dengan kata-kata kesat hanya mahu memohon simpati atas tindakannya.

Menyentuh mengenai keadaan bapanya sekarang, katanya, mangsa telah dibawa ke Hospital Shah Alam dan telah keluar pada jam 10.30 malam semalam.

Bagaimanapun, katanya, ketika ini badan bapanya masih lemah dan dia mengadu masih sakit di bahagian rusuk kiri.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here