Warga emas meninggal bersendirian di rumah usang

0
66
PDRM

ALOR GAJAH – Mayat seorang lelaki warga emas ditemukan dalam keadaan mereput di sebuah rumah usang didiami mangsa di Kampung Londang, Alor Gajah di sini.

Mayat mangsa ditemui pada hari ke empat Hari Raya Aidilfitri oleh penduduk kampung dalam keadaan terbaring di lantai di rumah yang berselerak dan dipenuhi semak samun itu.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Arshad Abu berkata, mangsa dipercayai telah meninggal dunia kira-kira sebulan yang lalu berdasarkan keadaan mayat yang telah reput.

“Pemeriksaan pada badan mangsa tidak menemui sebarang kecederaan fizikal dan tiada senjata tajam dijumpai,” katanya dalam kenyataan hari ini/

Arshad berkata, pengecaman mayat mangsa dilakukan oleh isteri di mati dan mangsa dikatakan telah tinggal di rumah berkenaan secara bersendirian sejak Februari lalu.

“Sebelum ini mangsa dikatakan tinggal bersama anaknya di Seremban namun pada Februari lalu telah kembali ke rumah pusaka dan tinggal bersendirian,” katanya.

Katanya, si mati dan waris dikatakan mempunyai perselisihan faham dan tidak berhubung sejak dia pulang ke kampung halaman.

Jelasnya, keadaan mayat yang telah mereput menyebabkan sebab kematian masih tidak dipastikan dan beberapa spesimen akan dirujuk ke Jabatan Kimia untuk dianalisa.

Arshad berkata, hasil siasatan mendapati tiada sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here