XPDC kongsi perjalanan 3 dekad di Malakat Mall, Ahad ini

0
61
Zua yang merupakan antara line-up awal XPDC.

CYBERJAYA – Penganjuran Hari Rock Negara yang akan berlangsung selama dua hari di Malakat Mall di sini, bermula esok akan menampilkan kumpulan rock legenda tanah air, XPDC.

Selain XPDC, nama-nama besar seperti Search dan ikon rock yang kini membawa mesej Islam seperti Dr Sam, Ustaz Akhil Hay, Ijam Medicine, Zul Handy Black dan Aris Ariwatan juga antara yang dijangka hadir.

Dalam pertemuan dengan Malakat Tribune hari ini, pemain gitar bas XPDC, Zua atau nama sebenarnya Azuar Md Tasi, berkata, penampilan XPDC pada program itu akan dihangatkan penampilan penyanyi utamanya, Mael, drum oleh Amy dan gitar utama (Jef).

Zua berkata, pihaknya amat berbesar hati atas jemputan daripada pihak penganjur iaitu Rockin Rhythm dan Malakat Mall untuk XPDC bertemu dengan peminat dan ahli-ahli kumpulan muzik tanah air yang lain.

Katanya, selain persembahan muzik secara jamming session, XPDC juga akan bertemu peminat dalam sesi forum ‘Titian Perjalanan’ yang mana mereka akan berkongsikan pengalaman hidup sebagai rockers, pada Ahad ini.

“Dalam sesi itu kami akan berkongsi pengalaman jatuh bangun kami dalam industri muzik, pahit dan manis sejak lebih 30 tahun berkecimpung dalam muzik.

“Insyallah Mael juga akan bersama kami pada Ahad ini untuk membuat persembahan. Mungkin sebelah malam,” katanya.

Selain itu, peminat kumpulan yang pernah diberi gelaran Raja Funfair itu juga berpeluang mendapatkan pelbagai cenderahati seperti t-shirt, topi dan banyak lagi di gerai jualan kumpulan itu sepanjang festival itu berlangsung.

Pemain drum, Amy berkata, penampilan XPDC pada karnival rock itu merupakan yang ketiga selepas dua tahun tidak muncul di pentas persembahan.

“Kami baharu sahaja mula membuat show pertama kami selepas pandemik di Melaka minggu lalu, dan esok kami akan membuat persembahan di Warisan Hall Studio di Sijangkang,” katanya.

Menurut Amy, pada program itu juga, XPDC akan menerima penganugerahan Joox Top Music Award Malaysia 2021 yang akan disaksikan oleh pengasas Malakat Mall, Mohd Fadzil Hashim.

Katanya, hadiah Top 5 Artis oleh Joox itu diberi selepas menerima undian tertinggi secara online selain Datuk Siti Nurhaliza, Khai Bahar, Ukays dan Haqiem Rusli.

Undian anugerah melalui aplikasi Joox yang dibuka selama 19 minggu dan menerima hampir 35 juta undian.

Yazid, Pengurus XPDC

Sementara itu, Pengurus XPDC, Yazid berkata, pihaknya berterima kasih kepada Malakat Mall atas penganjuran karnival yang bakal menghimpunkan ribuan peminat rock itu.

“Ini satu platform yang baik untuk dikembangkan. Ramai juga artis-artis rock yang sudah beralih ke arah lagu-lagu ketuhanan akan turut serta.

“Kami harap usaha ini akan dapat merapatkan ukhwah dan menyediakan lebih banyak peluang yang baik,” katanya.

Hari Rock Negara anjuran Rockin Rhythm di Malakat Mall, Cyberjaya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here