XPDC: Lebih 5,000 banjiri Malakat Mall

0
1372
Persembahan XPDC di pentas Colloseum Malakat Mall Cyberjaya hari ini. Foto Amir Afiq Jamaludin

CYBERJAYA – Lebih 5,000 orang membanjiri Colloseum Malakat Mall di sini untuk menyaksikan persembahan jamming bersama legenda rock tanah air, XPDC.

Persembahan adalah acara kemuncak penganjuran Hari Rock Negara yang berlangsung selama dua hari sejak semalam.

XPDC yang dibarisi dua anggota asal iaitu Mael (vokal) dan Zua (bassist) bersama Amy (dram) dan Jef (gitar) mempersembahkan kira-kira 10 lagu.

Persembahan menghimpunkan rockers dan peminat musik yang tidak melepaskan peluang untuk ‘head-banging’ dan bergambar dengan anggota kumpulan XPDC.

Persembahan selama sejam setengah itu bermula selepas solat Asar secara berjemaah di dewan Ben Muhammadi di sini.

Terdahulu ruang legar Malakat Mall bergema dengan laungan Azan oleh Zua selepas tamat forum Sepetang Bersama XPDC: Titian Perjalanan.

Anggota XPDC, Zua melaungkan azan sebaik masuk waktu Asar di Malakat Mall, di sini. Foto Amir Afiq Jamaludin.

Forum yang dikendali oleh Farihin Abdul Fatah itu memberi peluang kepada XPDC berkongsi pahit manis perjuangan sebagai kumpulan rock sejak awal 90-an.

Pada majlis itu, XPDC turut menerima anugerah muzik dalam talian iaitu JOOX Awards. Hadiah Top 5 Artis oleh itu diberi selepas menerima undian tertinggi secara online termasuk Datuk Siti Nurhaliza, Khai Bahar, Ukays dan Haqiem Rusli.

Selain itu, peminat kumpulan yang pernah diberi gelaran Raja Funfair itu juga berpeluang mendapatkan pelbagai cenderahati seperti t-shirt, topi dan banyak lagi di gerai jualan kumpulan itu sepanjang festival itu berlangsung

Sementara itu, Presiden Kumpulan Malakat Eco, Mohd. Fadzil Hashim berkata, penganjuran Hari Rock Negara bertujuan mengumpulkan peminat muzik dan artis dalam satu acara yang dapat mengeratkan silaturahhim.

Mohd Fadzil (empat dari kanan) bersama Pengarah Eksekutif Malakat Eco Group, Adzhar Mohd Noor (tiga dari kanan), Ketua Pegawai Eksekutif Malakat Mall, Affandi Hamzah (dua dari kiri), bergambar bersama anggota XPDC. Foto Amir Afiq Jamaludin.

Beliau berkata, kerjasama Malakat Mall dengan Rockin’ Ryhthm dalam acara itu juga sebagai usaha pihaknya menyediakan platform penganjuran acara kepada orang ramai.

“Kita berhimpun hari ini tidak lain tidak bukan adalah untuk merapatkan silaturahhim dan membaiki nilai iman tanpa mengira siapa latar belakang kita.

“Biar kita nak rock sampai mati tapi yang lebih penting kita mati dalam iman,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here