Zuraida umum keluar Bersatu sertai PBM

0
121
Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin

CYBERJAYA – Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin mengumumkan keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Beliau berkata, keputusan itu diambil selepas tertarik dengan perjuangan parti itu.

Katanya, beliau amat tertarik dengan enam prinsip terasnya iaitu keterlibatan pelbagai kaum; pemberdayaan wanita; pemerkasaan anak muda; pembangunan ekonomi; peningkatan pendidikan dan kemajuan sains teknologi sebagai elemen untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju.

“Saya melihat banyak potensi dalam PBM, terutamanya pada masa rakyat Malaysia sudah bosan dengan politik lama, yang membantutkan kemajuan negara.

“Insya-Allah, penyertaan serta pengalaman saya ke PBM nanti akan dapat membantu mengangkat parti ini ke peringkat yang lebih tinggi, terutamanya menjelang pilihan raya umum yang akan datang.

“Penyertaan saya ini juga akan mengisi kelompongan kepimpinan wanita dalam negara. Sejak penubuhannya, PBM dilihat semakin kuat dan kini mempunyai beberapa orang Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negara (ADUN) dalam barisannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, katanya, meskipun bertindak sedemikian, beliau tetap memberi komitmen untuk menyokong kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Alhamdulillah, pendirian saya selaku Ahli Parlimen Ampang menyokong kerajaan yang dipimpin oleh Perdana Menteri adalah selari dengan pendirian PBM.

“Saya akan berjumpa dengan Perdana Menteri dalam masa terdekat untuk membincangkan perletakan jawatan saya sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

“Saya juga akan berbincang tentang peranan dan hala tuju PBM demi mengukuhkan lagi kerajaan Keluarga Malaysia. Saya mempunyai keyakinan penuh terhadap kebijaksanaan YAB Perdana Menteri,” katanya.

Dalam pada itu, beliau juga merakamkan ucapan terima kasih kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Ismail Sabri, di atas kepercayaan mereka melantiknya sebagai Menteri Kabinet.

“Sepanjang saya berkhidmat di kedua-dua Kementerian, saya telah berusaha memberikan yang terbaik dan membawa perubahan positif kepada rakyat dan kehidupan mereka.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih atas sokongan padu yang saya terima sepanjang perkhidmatan saya di kedua-dua kementerian,” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here