
CYBERJAYA – Seramai 5,827 orang pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) berjaya mendapat sekurang-kurangnya gred kepujian tinggi dalam semua matapelajaran menerusi keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 yang diumumkan pada hari ini.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pencapaian pelajar MRSM ini satu kejayaan yang memberangsangkan kerana mereka merupakan kohort yang terkesan dengan pandemik Covid-19 sejak mereka di Tingkatan 4.
Peperiksaan ini juga merupakan yang pertama kali menggunakan format baharu Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM).
“Calon-calon SPM 2021 ini berhadapan dengan cabaran pengajaran dan pembelajaran dari rumah (PdPR) sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di mana mereka hanya berpeluang mengikuti pembelajaran secara bersemuka selama tiga bulan sahaja.
“Dengan mengambil kira cabaran yang dihadapi, seramai 904 orang calon MRSM memperoleh semua A merangkumi A+, A dan A-,” kata Mahdzir dalam satu kenyataan akhbar dikeluarkan Majlis Amanah Rakyat (Mara), hari ini.
“Empat buah MRSM mencatat prestasi cemerlang dengan GPM kurang daripada 2.0 iaitu MRSM Taiping, MRSM Tun Ghafar Baba, MRSM Langkawi dan MRSM Tun Abdul Razak,” ujar Mahdzir.
Seramai 7,307 orang pelajar dari 53 buah MRSM di seluruh Malaysia menduduki peperiksaan SPM 2021 pada bulan Mac 2022.
“Saya menyeru kepada pelajar lepasan SPM yang cemerlang untuk merebut peluang penajaan yang disediakan MARA untuk mereka menyambung pengajian di dalam dan luar negara.
“Syabas dan tahniah kepada semua pelajar dan setinggi-tinggi penghargaan kepada guru dan ibu bapa yang sentiasa memberi sokongan demi kejayaan anak-anak pelajar,” katanya.
Pengurusan MARA kata Mahdzir, akan terus komited untuk memastikan peningkatan prestasi akademik calon-calon SPM bagi tahun 2022.