788 notis dikeluarkan kepada perokok di KLIA

0
56
Dr Sha’ari Ngadiman about Covid-19.

CYBERJAYA – Sebanyak 788 notis kesalahan merokok di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) dalam siri pertama Ops Terbang KLIA pada 11 dan 12 Jun lalu.

Pengarah Kesihatan negeri Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata, notis dengan nilai kompaun berjumlah RM196,400 itu melibatkan 708 kesalahan merokok di kawasan lapangan terbang manakala 61 kesalahan sekitar kompleks membeli-belah.

Selain itu katanya, 16 notis adalah bagi lain-lain kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 dan tiga lagi membabitkan individu umur bawah 18 tahun.

“Larangan merokok di pintu masuk utama antarabangsa itu tertakluk kepada Peraturan 11(1) (g) PPKHT yang mana lapangan terbang diwartakan sebagai kawasan larangan merokok.

“Bagi KLIA, kawasan larangan merokok merangkumi keseluruhan kawasan berbumbung meliputi bangunan terminal,”katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, setiap kesalahan dikeluarkan notis kehadiran mahkamah dan ditawar kompaun sebanyak RM250 bagi kesalahan merokok di kawasan larangan manakala RM50 jika pesalah orang belum dewasa.

Dr Sha’ari menegaskan tindakan pendakwaan mahkamah akan diambil jika individu diberi notis tidak menjelaskan kompaun ditawarkan dalam tempoh ditetapkan.

“Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjara tidak lebih dua tahun,” katanya lagi.

Terdahulu, operasi bagi melindungi orang awam daripada bahaya kesan asap rokok dijalankan 142 pegawai yang diberi kuasa terdiri pegawai kesihatan persekitaran, penolong pegawai kesihatan persekitaran, polis dan polis bantuan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here