Amalkan ‘Lihat, Hidu dan Rasa’ bagi kurangkan risiko keracunan makanan

0
5

SEPANG – Orang ramai diseru mengamalkan konsep ‘Lihat, Hidu dan Rasa’ bagi mengurangkan risiko kejadian keracunan makanan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, pengguna merupakan titik akhir dalam rantaian makanan dan mempunyai kuasa untuk memacu perubahan dalam memastikan makanan yang diambil adalah makanan yang bersih dan selamat.

Beliau berkata, walaupun situasi kejadian keracunan makanan di negara ini masih terkawal, pihak kementerian akan terus komited dalam melaksanakan pelbagai intervensi dan aktiviti promosi bagi meningkatkan tahap keselamatan makanan dan mencegah kejadian keracunan makanan untuk melindungi kesihatan Keluarga Malaysia.

Menurut beliau, antara inisiatif ditawarkan termasuk beberapa skim pensijilan seperti Skim Pensijilan Hazard Analysis and Critical Control Points (HACCP), Good Manufacturing Practice (GMP) dan Makanan Sihat Tanggungjawab Industri (MeSTI) untuk kilang makanan.

“Pada masa sama, Pengiktirafan Bersih, Selamat dan Sihat (BeSS) turut diberikan kepada pengusaha kedai makan dan kendera saji (food truck) serta turut memperkenalkan satu program khusus iaitu Penyenaraian Pengusaha Makanan Sediaan di Rumah (Home-Based Food),” kata Khairy Jamaluddin dalam ucapannya merasmikan Hari Keselamatan Makanan Sedunia Peringkat Kebangsaan, di sini hari ini.

Untuk rekod, kes keracunan makanan mencatat penurunan sebanyak 31.6 peratus iaitu penurunan dari sebanyak 288 kes kejadian keracunan pada tahun 2020 kepada 197 kes keracunan makanan pada tahun lalu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here