Annuar dilantik Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi – PM

0
47
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

PUTRAJAYA – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa dilantik sebagai Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi bagi membantu Keluarga Malaysia menghadapi cabaran peningkatan kos sara hidup.

Perdana Menteri berkata, pasukan itu turut dianggotai Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Sri Alexander Nanta Linggi.

Selain itu, beliau berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Sri Mustapa Mohamed dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali turut dilantik menganggotai jawatankuasa itu.

“Pasukan khas ini berperanan untuk mengumpulkan semua maklumat daripada kementerian, agensi dan orang ramai bagi merangka strategi serta mengkoordinasi tindakan menyelesaikan isu-isu berkaitan inflasi khususnya mengawal kenaikan harga barang dengan lebih efisien dan berkesan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, katanya, pasukan khas itu akan berfungsi sebagaimana pasukan menguruskan pandemik Covid-19, dengan mengadakan mesyuarat sebanyak dua kali seminggu iaitu pada Isnin dan Khamis.

Beliau berkata, sidang media itu akan diadakan selepas setiap mesyuarat berlangsung bagi memberi penjelasan kepada isu-isu yang dibangkitkan oleh Keluarga Malaysia.

“Langkah ini diambil ekoran cabaran peningkatan kos sara hidup akibat daripada perubahan iklim dan ketidaktentuan geopolitik termasuk konflik antara Russia-Ukraine yang dijangka berlarutan sehingga memberi kesan kepada pasaran komoditi makanan serta bahan api,” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here