AS tamatkan keperluan jalani saringan Covid-19 bagi pengembara

0
2
GAMBAR HIASAN

WASHINGTON – Amerika Syarikat (AS) menamatkan peraturan yang memerlukan pengembara asing untuk melakukan ujian saringan Covid-19 sehari sebelum menaiki penerbangan ke negara itu.

Laporan akhbar Saudi Gazette semalam menyebut, pengumuman itu sekali gus melonggarkan salah satu mandat terakhir kerajaan yang masih dikuat kuasakan bagi membendung penularan Covid-19.

Seorang pegawai kanan pentadbiran Presiden Joe Biden berkata, mandat ujian saringan itu akan tamat pada hari Ahad (hari ini) pada pukul 12.01 tengah malam (waktu tempatan) sambil menambah bahawa Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) menentukan bahawa ia tidak lagi diperlukan.

Menurut pegawai berkenaan, agensi itu akan menilai semula keperluan ujian saringan pada setiap 90 hari yang berkemungkinan akan kembali dikuat kuasa jika varian baharu yang membimbangkan muncul.

Pentadbiran Biden telah melaksanakan keperluan ujian saringan itu pada tahun lepas ketika beralih daripada sekatan perjalanan bagi pengembara dari beberapa negara kepada kaedah mengklasifikasi individu mengikut risiko mereka.

Arahan itu digabungkan dengan keperluan pengembara asing dewasa bukan imigran yang melancong ke AS yang perlu diberi vaksin penuh dengan pengecualian terhad.

Mandat awal itu membenarkan mereka yang menerima vaksin lengkap untuk menunjukkan bukti ujian negatif dalam tempoh tiga hari perjalanan, manakala individu yang tidak divaksin perlu mengemukakan ujian palitan yang diambil sehari sebelum perjalanan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here