Bakal jemaah haji akan terus dibimbing -TH

0
4
Gambar hiasan.

MADINAH – Bakal jemaah yang masih keliru dengan ibadah haji khususnya dalam kalangan penerima tawaran pada saat akhir dan tanpa sempat menghadiri kursus persediaan tidak perlu gusar kerana akan dibimbing dengan baik.

Pembimbing Ibadat Haji Tanah Suci  (PIHTAS) Ustaz Mohd Hishamuddin Mansor berkata, pihaknya akan cuba mengajar secara persendirian serta menyediakan nota sebagai rujukan jemaah haji.

Katanya, pembimbing haji di Madinah dan Makkah bukan sahaja dalam kalangan ustaz tetapi juga ustazah kerana pelbagai persoalan tentang wanita dan ibadah akan berbangkit serta memerlukan jawapan yang tepat.

“Ada juga yang akan datang secara persendirian…mungkin ada juga yang belum memahami sepenuhnya  cara melaksanakan ibadah haji kerana tidak menghadiri kursus haji di tanah air, itu pun kami akan bantu dari awal sampai akhir.

Kalau mereka perlukan nota pun kami akan sediakan…biar mereka puas hati,” katanya ketika ditemui pemberita di Hotel Anwar Al Madinah Movenpick, di Madinah.

Mohd Hishamuddin berkata, bagi memastikan jemaah Malaysia memperoleh haji mabrur, pihaknya turut membuat post-mortem agar tidak ada perkara wajib yang tertinggal dan jemaah tidak melakukan larangan sepertimana yang telah ditetapkan dalam ibadah itu.

“Kalau mereka hendak balik ke Malaysia nanti pun kami akan adakan post-mortem…ada sesi menyemak senarai semak ibadat haji yang disedaikan sebelum itu untuk pastikan jemaah pulang ke tanah air dalam keadaan hati lega dapat selesaikan haji dengan sempurna,” katanya.

Selain itu, beliau yang mempunyai pengalaman luas dalam mengendalikan emosi serta keraguan jemaah haji berkata, pembimbing bukan sahaja perlu menjawap persoalan agama tetapi juga perlu bijak memujuk mereka yang mula berasa tidak selesa dengan keadaan semasa.

Katanya, dalam tempoh lebih 40 hari di Madinah dan Makkah, jemaah haji bukan sahaja akan diuji dengan perasaan rindu pada kampung halaman, tetapi juga cabaran cuaca panas dan kepadatan yang mencecah sejuta orang dalam satu masa.

Dilaporkan seramai 340 petugas berpengalaman TH akan bertugas sepanjang musim haji kali ini, bagi menyantuni kira-kira 14,306 jemaah.

Sementara itu, menurut Mohd Hishamuddin, jemaah haji Malaysia yang bakal tiba esok ke Madinah akan dibawa ke Masjid Nabawi serta melawat beberapa lokasi bersejarah.

Antaranya Masjid Quba iaitu masjid pertama yang didirikan Nabi Muhammad SAW serta Bukit Pemanah dan Bukit Uhud iaitu lokasi peperangan Uhud pada 7 Syawal Tahun 3 Hijrah yang mengorbankan 70 tentera Islam. -BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here