
CYBERJAYA – Seramai 10 penumpang cedera selepas bas ekspres yang dinaiki mereka hilang kawalan lalu terbalik di Jalan Gunong-Jelawat, Bachok, Kelantan, pagi tadi.
Ketua Polis Bachok, Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, dalam kejadian yang berlaku pada pukul 5.30 pagi, kesemua penumpang hanya mengalami kecederaan ringan.
Ketika kejadian, katanya, bas terbabit sedang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menghala ke Jelawat.

“Sebaik tiba di selekoh Kampung Bator, bas yang dipandu lelaki berusia 27 tahun itu hilang kawalan lalu terbabas sebelum terbalik di bahu jalan.
“Terdapat 10 penumpang yang berada dalam bas terbabit dan kesemua mereka hanya cedera ringan,” katanya menurut laporan Harian Metro.
Tambahnya, usaha mengalih dan mengangkat bas sudah dilakukan oleh syarikat bas berkenaan pada 11 pagi tadi dan siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian.