Bas pesiaran rempuh treler, warga emas maut

0
7
Mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan.

CYBERJAYA – Seorang penumpang bas persiaran maut dalam satu kemalangan di kilometer 425.8 Lebuhraya Utara Selatan menghala ke selatan, dekat Kuala Kubu Bharu, awal pagi tadi.

Dalam kejadian pada pukul 4.30 pagi tadi, Hamaizah Fadzilah, 54, meninggal dunia di tempat kejadian.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, sepasukan 15 pegawai dan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Sentosa bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.32 pagi.

“Menurut laporan awal, kemalangan itu membabitkan sebuah bas persiaran membawa 40 penumpang menghala ke selatan dipercayai melanggar bahagian belakang sebuah treler 20 tan dari arah sama.

“Terdapat seorang penumpang wanita yang duduk di kerusi paling hadapan tersepit di bahagian yang remuk,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, pihaknya segera melakukan operasi untuk mengeluarkan mangsa, manakala pemandu bas serta penumpang lain yang tidak cedera bertindak keluar dari kenderaan itu dan berkumpul di tempat selamat.

Katanya, kedua-dua pemandu bas dan lori yang masing-masing berusia 54 dan 70 tahun serta penumpang bas tidak tersepit dan tidak cedera.

“Pada 5.13 pagi, mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan,” katanya sambil menambah bahawa mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here