Bayi lapan bulan patah tangan disyaki akibat didera

0
12

ALOR SETAR – Seorang bayi lelaki berusia lapan bulan mengalami patah tulang pada tangan kirinya selepas disyaki didera pengasuhnya pada minggu lalu.

Menurut laporan portal Utusan Online, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, kejadian dipercayai berlaku pada 2 Jun lalu sebelum keluarga mangsa membuat laporan polis sehari kemudian.

“Pemeriksaan pakar di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) mendapati mangsa mengalami patah tulang di bahagian atas lengan kiri.

“Sehubungan itu polis menahan seorang wanita berusia 20 tahun yang bertugas sebagai pengasuh di taska berkenaan untuk membantu siasatan,” katanya, di sini semalam.

Difahamkan, bayi terbabit baru beberapa hari dimasukkan ke taska tersebut oleh ibu bapanya yang masing-masing berusia 35 tahun.

Mengulas lanjut, Ahmad Shukri berkata, pemeriksaan awal mendapati tiada kesan luka pada tubuh bayi, namun bahagian lengan kirinya didapati bengkak selepas kejadian itu berlaku.

“Setakat ini motif kejadian serta lain-lain perkara berkaitan perkara itu masih disiasat. Pengasuh berkenaan direman selama enam hari hingga 9 Jun depan,” jelasnya.

Beliau menambah, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here