Bekalan makanan termasuk daging cukup untuk Aidiladha.

0
11
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Bekalan makanan dan daging lembu dijamin mencukupi sempena sambutan Hari Raya Aidiladha tidak lama lagi.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, bagi menangani masalah kesuntukan bahan makanan itu kerajaan turut membawa masuk lebih 12,000 ekor lembu hidup dari Thailand.

“Lembu untuk raya korban mencukupi setelah kita buka dan beri kebenaran untuk import lembu dari Thailand,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Pemadanan Pekerjaan Subsektor Tanaman di sini, pada Sabtu.

Pada 7 Jun 2021, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) menggantung import lembu dan kerbau dari Thailand berkuat kuasa serta-merta selepas menilai risiko penularan penyakit kulit kental (LSD) yang dilaporkan di lebih 41 wilayah di Thailand.

Selepas beberapa perjumpaan, perbincangan dan penambahbaikan beberapa peraturan dan prosedur import, JPV menarik balik larangan import lembu dan kerbau dari Thailand berkuat kuasa serta-merta pada 15 Mac lepas.

Pada 2021, Malaysia mengimport sebanyak 12,405 ekor lembu dari Thailand sempena sambutan Aidiladha berbanding 12,553 ekor pada 2020.

Terdahulu dalam ucapannya, Ahmad berkata, warga tempatan terutama belia disaran merebut tawaran kerja dalam sektor tanaman agromakanan bagi mengurangkan kebergantungan pekerja asing dalam sektor itu.

“Jabatan Pertanian menyasarkan pengurangan pekerja asing sebanyak 10 peratus hingga 2030 dengan adanya peningkatan penggunaan teknologi dan penglibatan belia tempatan dalam sektor agromakanan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here