BNM dijangka naikkan lagi kadar OPR menjelang hujung tahun – Kenanga Investment

0
17

CYBERJAYA – Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka akan menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak sekurang-kurangnya 25 mata asas (bps) menjelang akhir tahun ini.

Menurut Kenanga Investment Bank Bhd., langkah itu berikutan kenaikan kadar faedah yang agresif oleh Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS).

Dalam laporan ekonominya hari ini, Kenanga berkata, reaksi pasaran kewangan global terhadap kenaikan kadar dan kesan akhirnya ke atas ekonomi akan memberikan dorongan yang lebih kuat bagi kebanyakan bank pusat untuk menyusuli langkah berkenaan.

“Bagaimanapun, ini tidak menandakan bahawa BNM akan mengikut keputusan monetari Fed itu,” tambahnya.

Semalam, Fed AS menaikkan kadar dasar utamanya sebanyak 75 mata asas kepada 1.50 peratus -1.75 peratus (sebelum ini 0.75 peratus-1.00 peratus), iaitu kenaikan terbesar sejak 1994 dalam usaha membendung inflasi tinggi yang menyaksikan indeks harga pengguna bulan Mei negara itu melonjak 8.6 peratus tahun ke tahun.

Kenanga seterusnya menambah, pendirian dasar BNM secara beransur-ansur menjurus ke arah mengetatkan memandangkan permintaan domestik yang bertambah baik berikutan pembukaan semula sempadan antarabangsa dan kelonggaran sekatan Covid-19, yang membawa kepada pembentukan trend inflasi yang didorong oleh permintaan.

“Oleh itu, kami percaya ini akan meningkatkan kebarangkalian BNM untuk menaikkan OPR sekurang-kurangnya 25 mata asas pada baki tiga lagi Mesyuarat Dasar Monetarinya untuk tahun ini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here