Bomoh buang saka terkenal ditangkap khalwat

0
757
Seorang lelaki warga emas yang terkenal di Melaka kerana didakwa mampu merawat secara jarak jauh ditahan pihak berkuasa kerana berkhalwat

MASJID TANAH – Seorang lelaki warga emas yang dipercayai pengasas sebuah pusat perubatan jarak jauh terkenal di sini ditahan pihak berkuasa selepas disyaki berkhalwat dengan pekerjanya yang didakwa dinikahi sejak 10 tahun lalu.

Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Datuk Che Sukri Che Mat berkata, lelaki warganegara jiran itu yang digelar Tok Guru Diraja yang berusia 60-an bagaimanapun gagal mengemukakan dokumen pernikahan yang sah bersama pasangannya itu berusia 40-an.

Menurutnya, serbuan jam 11.30 malam tadi dilakukan hasil maklumat awam mengenai kegiatan tidak bermoral warga emas terbabit yang turut mempunyai ribuan pengikut termasuk mempunyai saluran Youtube sendiri.

“Hasil aduan diterima, sepasukan penguat kuasa JAIM mengesan aktiviti maksiat di sebuah rumah teres di sini dan berjaya menahan lelaki dan janda anak seorang itu yang mendakwa telah berkahwin di negara jiran pada 2012.

“Bagaimanapun, mereka gagal mengemukakan dokumen pernikahan yang sah dan memberi alasan dokumen telah diserahkan kepada pihak lain untuk urusan pendafftaran walaupun ianya sudah hampir 10 tahun,” katanya memetik laporan Malaysia Gazette hari ini.

Terdahulu beliau menyertai operasi cegah maksiat di sini jam 11.30 malam tadi sebelum berakhir pada jam 3.30 pagi.

Jelasnya, siasatan dibuat mengikut Seksyen 53 (1) dan (2) Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991 kerana berkurung atau bersekediaman sehingga mendatangkan syak dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM3,000 atau 24 bulan penjara atau kedua-duanya sekali.

Mengulas lanjut Che Sukri berkata, JAIM juga sedang sedang memantau kaedah perubatan jarak jauh bagi membuang saka yang diamalkan lelaki berkenaan yang menggunakan gelaran Tok Guru Diraja sehingga mempunyai ribuan pengikut di seluruh negara.

“Sekarang ini, kita juga sedang menunggu keputusan terakhir daripada pihak Jawatankuasa Fatwa dan jika mereka sahkan kaedah rawatan digunakan itu bertentangan dengan Islam, maka mereka berhak untuk halang.

“Ini termasuklah menasihatkan pengikutnya supaya tidak mendekati kaedah rawatan tersebut,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here