
CYBERJAYA – Ahli Majlis Bandaraya Shah Alam, Muhammad Shakir Ameer hari ini membidas gesaan Menteri Hal Ehwal Agama, Idris Ahmad supaya masyarakat beragama Islam tidak menyertai Festival Bon Odori yang diadakan di negara ini.
Muhamad Shakir berkata, pendapat pemimpin Pas itu tidak sepatutnya timbul selepas lebih 30 tahun festival itu diadakan di negara ini.
Katanya, sambutan masyarakat Jepun itu tidak mengandungi pengaruh atau ritual agama yang boleh menyesatkan umat Islam sebaliknya menjurus kepada acara kebudayaan dan komersial.
Justeru, beliau mahu umat Islam diberi peluang untuk menilai sendiri tentang pelbagai sambutan perayaan kebudayaan di Malaysia.

“Kita tidak boleh benarkan pendapat pemimpin PAS daripada menghalang kita sebagai rakyat Malaysia daripada mempamerkan kepelbagaian budaya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sambutan Bon Odori di negara ini disambut setiap tahun khususnya di Selangor, Pulau Pinang dan Sabah.
Antara aktiviti pada festival itu adalah tarian mengelilingi pentas diiringi muzik, nyanyian, persembahan dram dan gendang Jepun.
“Dari pemahaman saya, tarikan utamanya ialah unsur muziknya seperti tarian dan gendang… Kenapa ia perlu jadi isu sekarang?, “
Idris dalam kenyataan sebelum ini berkata, kajian Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) mendapati sambutan Bon Odori mengandungi pengaruh keagamaan lain.