Bon Odori: Satu kajian perlu dilakukan sama ada masih ada unsur agama atau tidak – Mufti Wilayah

0
35
Poster Bon Odori

CYBERJAYA – Satu kajian lebih lanjut perlu dilaksanakan untuk memastikan sambutan perayaan Bon Odori pada hari ini masih mempunyai hubungan dengan kepercayaan bersifat keagamaan atau semata-mata berbentuk kebudayaan yang telah terputus dari kepercayaannya asal.

Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, ini bagi memastikan sikap dan pendirian orang Islam terhadap Bon Odori adalah benar-benar menepati hukum syarak.

“Walaupun dikatakan ia telah berevolusi sebagai hanya semata-mata perayaan yang bersifat kebudayaan dengan aktiviti sosial kekeluargaan, namun umat Islam wajib mematuhi hukum-hakam syarak dalam menghadiri sesuatu majlis atau tempat perayaan.

“Sekiranya dalam majlis berkenaan ada unsur-unsur yang bertentangan dengan syarak seperti pergaulan bebas, mendedahkan aurat, meminum arak dan sebagainya, maka wajib bagi umat Islam menghindarkan diri dari terlibat dalam aktiviti berkenaan,” katanya dalam Bayan Linnas mengenai hukum orang Islam menyertai Bon Odori.

Menyentuh lebih lanjut, katanya, pada asasnya umat Islam adalah ditegah untuk menyertai apa-apa perayaan agama lain.

Katanya, para ulama telah bersepakat bahawa hukum menyertai perayaan agama lain, sama ada dengan ucapan atau tindakan pada pakaian, makanan atau minuman yang dikhususkan pada hari perayaan tersebut adalah haram jika bertujuan untuk mengagungkan hari perayaan mereka.

“Bahkan majoriti ulama berpendapat bahawa seorang muslim yang mengagungkan syiar-syiar agama lain boleh jatuh ke lembah kekufuran. Manakala individu muslim yang tidak berniat untuk mengagungkannya adalah berdosa, namun tidak sampai ke tahap kufur,” katanya.

Obon atau Bon Odori adalah merupakan suatu perayaan orang Jepun yang beragama Buddha, sebagai simbolik merayakan kedatangan roh nenek moyang yang telah mati.

Perayaan ini telah disambut di Jepun selama lebih daripada 500 tahun dan menurut kepercayaan mereka, roh nenek moyang akan datang ke dunia bagi menziarahi saudara mara mereka pada setiap tahun sewaktu perayaan Obon berlangsung.

Perayaan ini biasanya berlangsung selama empat hari, iaitu pada hari ke 13 hingga ke 16 pada setiap bulan Ogos, tetapi ia berbeza mengikut tempat-tempat tertentu di Jepun.

Selari dengan peredaran masa, perayaan Bon Odori disambut hanya sebagai tradisi dan kebudayaan Buddha-Confucius dengan aktiviti perkumpulan keluarga pada musim cuti, namun di sesetengah daerah pedalaman sambutan ini masih dianggap sebagai sebahagian daripada ritual keagamaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here