
KUALA LUMPUR – Misi Brainy Bunch melalui pendidikan montessori Islam tidak hanya bersifat ‘eksklusif’ untuk pembangunan diri pelajar semata-mata sebaliknya untuk membina ummah yang lebih baik.
Sebaliknya, objektif Brainy Bunch lebih bersifat inklusif iaitu satu usaha jangka masa panjang untuk membentuk dan memperbaiki ‘struktur’ ummah yang kian tersasar dari ajaran Islam.
Presiden Kumpulan Malakat Eco, Mohd Fadzil Hashim yang juga pengasas sekolah antarabangsa itu berkata, acuan pendidikan awal kanak-kanak di Brainy Bunch bermula dengan penerapan tiga prinsip utama iaitu beriman, beramal dan berdakwah.
“Ramai yang melihat pendidikan berkualiti sebagai syarat untuk anak-anak berjaya dalam hidup tapi tidak melihat pada skop yang lebih luas iaitu kepentingan ummah.
“Pendidikan bukan hanya untuk anak kita semata-mata tapi untuk bentuk, jaga dan baiki masyarakat yang mana akhirnya kita saling memerlukan antara satu sama lain.
“Di sinilah pendidikan memainkan peranan yang penting untuk melahirkan anak, pemimpin, suami, pekerja, peniaga dan individu yang lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi pertemuan ibu bapa pelajar Brainy Bunch International Islamic Montessori School (BBISKL) di Taman Melawati di sini hari ini.
Hadir sama pengasas bersama Brainy Bunch, Madam Efizah Mohtar Rasali; Ketua Pengarah Eksekutif Kumpulan, Malakat Eco dan Brainy Bunch, Adzhar Mohd Noor; Ketua Pegawai Eksekutif Brainy Bunch, Noriha Mohd Zain dan Pengetua BBISKL, Samsudeen Abd. Aziz.

Terdahulu, Coach Fadzil meluangkan masa kira-kira sejam bersama penyanyi tersohor negara Datuk Siti Nurhaliza dan suami, Datuk Seri Khalid Mohamad yang memilih Brainy Bunch sebagai tadika untuk anak mereka, Siti Aafiyah, 4.
BBISKL yang beroperasi di tapak Kuala Lumpur International School itu merupakan kampus ketiga Sekolah Antarabangsa Brainy Bunch selepas kampus di Cyberjaya dan Johor Bahru.
Mohd Fadzil berkata, selepas 12 tahun beroperasi, Brainy Bunch masih jauh daripada ‘sempurna’ namun sentiasa menambah baik aspek pengurusan, SOP dan hubungan antara guru dan murid.
Mengulas mengenai pengoperasian BBISKL, Mohd. Fadzil berkata, pihaknya berharap fasiliti institusi pendidikan itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya demi kepentingan ummah.
“Dengan segala kemudahan bertaraf sekolah antarabangsa yang serba lengkap di sini, banyak yang kami dapat sediakan kepada pelajar.
“Kami akan beroperasi secara penuh di sini dari pra sekolah, peringkat rendah dan menengah pada bayaran yang berpatutan.
“Kami tidak melihat kepada jumlah pelajar (volume) kerana lebih mengutamakan kualiti pendidikan yang menyeronokkan melalui penggunaan aparatus,” katanya.