Buat kenyataan luar mahkamah: Hakim sangat kecewa dengan Guan Eng

0
40
Lim Gua Eng

KUALA LUMPUR – Hakim Mahkamah Sesyen di sini memberi amaran kepada bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berhubung kenyataanya pada Jumaat lalu yang dikaitkan dengan perbicaraan rasuah berhubung projek terowong dasar laut bernilai RM6.3 bilion.

Azura Alwi berkata, kenyataan seperti itu tidak sepatutnya dibuat kerana semua pihak termasuk pasukan pembelaan tertuduh mempunyai pengetahuan penuh, matang dan bukan kali pertama menghadapi prosiding mahkamah.

“Saya sebelum ini menekankan supaya semua pihak tidak mengeluarkan kenyataan sub judice. Kamu semua sudah matang, dan ini bukan kali pertama berdepan perbicaraan mahkamah.

“Ini bukan sesuatu yang asing atau baru kepada mana-mana daripada kamu. Saya sangat kecewa perkara ini masih berlaku,” katanya memetik laporan Malaysia Kini hari ini.

“Ia benar-benar menyakitkan hati saya kerana kes itu masih diteruskan. Saya harap perkara ini tidak berulang lagi, dan kamu jangan ambil mudah perkara ini,” kata Azura sambil memandang Guan Eng dari kandang tertuduh.

Istilah sub judice merujuk kepada perkara di bawah pertimbangan kehakiman dan oleh itu dilarang daripada perbincangan awam di tempat lain.

Peguam Lim, Gobind Singh Deo, kemudian bangkit dan memohon maaf kepada mahkamah.

Terdahulu dalam prosiding pagi ini, timbalan pendakwa raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin memohon kepada mahkamah supaya mengecam tertuduh berhubung kenyataan terbukanya yang dikaitkan dengan perbicaraan yang sedang berjalan.

Pada Jumaat lalu, Guan Eng melalui satu kenyataan awam, menyifatkan keterangan mahkamah yang mendakwa bahawa dia menerima rasuah sebagai tidak benar dan “khayalan”.

Ini selepas saksi dalam perbicaraan rasuahnya mendakwa Guan Eng tersenyum semasa menerima rasuah RM200,000 berhubung projek terowong dasar laut Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion.

Pengarah Eksekutif Konsortium Zenith Construction Sdn Bhd (ZCSB), Zarul Ahmad Mohd Zulkifli mendakwa bahawa Guan Eng tersenyum ketika dia menyerahkan rasuah RM100,000 kepada Ketua Menteri Pulau Pinang itu pada 2013.

Saksi pendakwaan ke-23 itu juga mendakwa bahawa tertuduh kelihatan gembira apabila dia menyerahkan RM100,000 lagi sebagai rasuah kepada Guan Eng pada 2014.

Zarul mendakwa bayaran itu dikaitkan dengan Guan Eng yang kononnya meminta 10 peratus daripada keuntungan projek tersebut sebagai balasan projek berkenaan diserahkan kepada syarikatnya melalui rundingan terus.

Susulan kenyataan Guan Eng, SPRM membuat laporan polis berhubung dakwaan menghina mahkamah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here