Dijerat penipuan SMS, sehingga terjerat pinjam Ah Long

0
22

KLANG – Seorang ibu tunggal yang dimaklumkan telah memenangi hadiah wang tunai sebanyak RM5,000 menjadi mangsa penipuan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) pada awal tahun ini.

Mangsa yang terpedaya dengan helah penipuan itu bukan sahaja kerugian RM3,000 daripada wang simpanan di akaun bank miliknya bahkan terpaksa berhutang dengan Ah Long .

Mie Ling (bukan nama sebenar) berkata, dia pada mulanya menerima SMS yang memaklumkan telah memenangi hadiah wang tunai dan diminta memuat turun satu aplikasi untuk pengisian data peribadi.

Selepas beberapa hari, mangsa dihubungi oleh pihak bank yang memaklumkan wang simpanannya telah dikeluarkan sebanyak RM3,000.

“Ketika menerima SMS tersebut, saya amat terkejut kerana memang saya tidak melakukan sebarang pengeluaran sama ada menerusi dalam talian atau secara fizikal.

“Pada masa sama, saya langsung tidak menerima sebarang wang seperti SMS yang saya terima sebelum ini, malah wang saya berjumlah RM3,000 pula yang lesap,” katanya metik laporan Sinar Harian.

Mei Ling berkata, dirinya yang kehabisan wang simpanan terpaksa meminjam daripada ah long untuk digunakan dalam perniagaan yang dijalankan.

“Perniagaan saya memerlukan tambahan sedikit modal pusingan, asalnya wang simpanan saya itu saya simpan untuk gunakan dalam perniagaan.

“Namun, gara-gara terlalu percayakan SMS yang menyatakan saya memenangi sejumlah wang sebanyak RM5,000, wang simpanan saya pula yang tiada dan terpaksa berhutang dengan along,” katanya.

Ketua Biro Pengaduan Awam Klang, Datuk B. K. Tan berkata, ihaknya mengesan pelbagai bentuk penipuan menerusi SMS dan WhatsApp yang mengumpan pengguna.

“Taktik yang digunakan, sindiket akan menghantar pesanan kepada mangsa menyatakan mangsa memenangi sejumlah wang. Dalam masa sama mangsa diminta untuk memuat naik satu aplikasi.

“Aplikasi berkenaan memerlukan mangsa untuk mengisi segala butiran peribadi dan daripada situ sindiket akan menggunakannya bagi menggodam maklumat seperti akaun mangsa untuk mendapatkan wang,” katanya.

Beliau berkata, perkara itu perlu ditangani segera bagi mengelakkan lebih ramai individu menjadi mangsa.

“Perlu ada kaedah untuk menangani perkara ini oleh pihak yang bertanggungjawab. Kita bimbang sekiranya tidak ditangani ramai lagi mangsa akan terpedaya.

“Mereka yang menjadi mangsa pula perlu segera melaporkannya kepada pihak polis, jangan berdiam diri,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here