
CYBERJAYA – Walaupun dinobatkan sebagai restoran terbaik di seluruh Cyberjaya, Casa De Madani akan tetap memberikan perkhidmatan terbaik bersama hidangan mewah pada harga berpatutan demi kepuasan pelanggan.
Terbaharu, restoran tersebut menduduki tangga teratas dalam ranking Tripadvisor daripada 138 buah restoran di bandar ini dengan memperoleh lima bintang.
Ketua Bahagian Malakat Food, Amirul Syahidan Mahadi berkata, pengiktirafan daripada pelanggan restoren tersebut merupakan hasil komitmen semua pihak yang terlibat, dan menjadi pemberi semangat kepada mereka untuk berusaha dengan lebih baik lagi.
“Oleh sebab itu, kami sentiasa melakukan penambah baikan kepada perkhidmatan dan menu yang kami sajikan, semuanya demi memuaskan hati pelanggan,” kata Amirul, hari ini.
Berikutan itu, Casa De Madani yang turut menyediakan pengalaman fine dining halal pertama di Cyberjaya, kini memperkenalkan beberapa menu menarik pada harga yang istimewa khusus buat pelanggan.
Antaranya, set Trattoria (gambar) yang mengandungi enam hidangan, sesuai untuk antara lapan hingga sepuluh tetamu pada harga bermula RM1,200.


Hidangan bintang pada set ini adalah roasted grain-fed tomahawk yang dihidangkan bersama sayuran panggang dan sos krim cendawan.
Menu ini amat sesuai buat pelanggan yang hadir dalam bentuk kumpulan, daripada jamuan korporat hinggalah sambutan istimewa seperti jamuan ulangtahun keluarga.
Satu lagi set baharu yang diperkenalkan adalah menu Degustation yang mengandungi juga enam hidangan pada harga bermula RM150 bagi seorang.
Bagi menu ini, hidangan bintangnya adalah pilihan di antara fillet daging Black Angus yang digril dan dihidangkan bersama sos Quattro Formaggi, atau kaki itik yang dibakar perlahan dengan herba pilihan dan dihidang bersama jus raspberry dan kentang lecek.
“Satu keunikan Casa De Madani yang sukar didapati di restoren fine dining lain adalah status halal, yang mana kesemua bahan masakan yang kami gunakan adalah dijamin halal.
“Oleh sebab itu, pelanggan tidak perlu berasa ragu-ragu untuk menikmati hidangan di restoren kami,” kata Amirul lagi.