DNB: Pembangunan telekomunikasi mengikut acuan sendiri

0
34
5G

PENGENALAN Digital Nasional Berhad (DNB) untuk pembangunan 5G adalah satu langkah yang strategik. DNB adalah langkah yang menjaga banyak hati. Bila berbicara soal urustadbir 5G di Malaysia, ia melibatkan kepentingan banyak sektor iaitu kerajaan, kepentingan rakyat, usahasama telco, tarikan pelabur serta jaminan terhadap kontraktor bumiputera, ini semua merupakan ‘hati-hati’ yang perlu ditatang dengan penuh hati-hati.

5G Merapatkan Jurang Digital

Pada 1 Mac 2021 Kementerian Kewangan yang diterajui oleh Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Aziz telah mengumumkan penubuhan DNB sebagai pengendali SWN 5G yang berasaskan model pemulihan kos yang diterajui bekalan dan bukan berdasarkan model pemaksimuman keuntungan.

Model pemulihan kos ini menjadi keutamaan agar pelaksanaan rangkaian 5G dapat dipercepatkan pada kos yang rendah. Ini akan memastikan bahawa kos penggunaan 5G oleh rakyat dan perniagaan adalah berpatutan. Model dipacu bekalan ini juga penting untuk memastikan perkhidmatan 5G dapat dinikmati oleh orang yang tinggal di kawasan luar bandar.

Hal ini penting untuk mengatasi jurang digital yang sekian lama tidak dapat diatasi oleh Pengendali Rangkaian Mudah Alih (MNO) yang terdiri daripada syarikat-syarikat telekomunikasi sedia ada. Malah, kerajaan terpaksa menyediakan perbelanjaan tambahan berjumlah RM28 bilion di bawah inisiatif Pelan Rangkaian Digital Nasional (JENDELA) untuk menghubungkan perkhidmatan ke kawasan di mana MNO gagal menyediakan liputan.

Terkini, menurut laman analisis OpenSignal, rangkaian 5G Malaysia telah bertambah baik secara keseluruhannya. Ini dibuktikan dengan kelajuan muat turun menerusi rangkaian 5G yang dicapai di Malaysia merekodkan selaju 382.2Mbps.

Sekaligus meletakkan Malaysia di tangga kedua di dunia bagi kelajuan muat turun 5G selepas Korea Selatan yang merekodkan kelajuan muat turun 5G selaju 432.7Mbps.

Malah puncak kelajuan muat turun 5G di Malaysia mencapai sehingga 880.3Mbps mengatasi Korea Selatan (850.1Mbps), UAE (742.8Mbps) dan Qatar (735Mbps).

Pembangunan Telekomunikasi Mengikut Acuan Sendiri

Falsafah ‘acuan sendiri’ sangat sinonim dengan Malaysia. Negara maju acuan sendiri, melting point acuan sendiri, dan kini dalam konteks pembangunan ekonomi dalam industri telekomunikasi, DNB juga merupakan revolusi model negara mengikut acuan sendiri. Sebab itu tiada gunanya kita berterusan membuat perbandingan dengan negara-negara luar. Tidak salah untuk menjadi lain dari yang lain asalkan ia membugar citra tempatan dan memenuhi keperluan serta kesesuaian  lokaliti.

Malaysia muncul sebagai yang pertama di dunia dengan model perkongsian awam-swasta apabila Menteri Kewangan mengumumkan pengagiihan ekuiti 30:70 antara pemilikan kerajaan dan MNO.

Ini adalah penting untuk memastikan kesinambungan pendapatan kerajaan di samping keperluan perkongsian tenaga mahir dan pengurusan industri dari kalangan MNO. Inisiatif ini juga memberi keuntungan pendapatan kepada MNO yang berhasarat untuk muncul dengan pelan Rangkaian Borong Tunggal (SWN) baru tetapi tidak dapat mencapai persetujuan sesama sendiri sejak 2019 lagi.

DNB Pemangkin Pembangunan Ekonomi Merentas Sektor

Pakar ekonomi menjangkakan sebanyak RM70 bilion pelaburan asing akan sampai ke negara apabila 5G dimuktamadkan pada 2025. Kerjasama dengan Ericsson yang datang dari negara Eropah akan meningkatkan pelbagai jenis pelaburan ke negara Malaysia di peringkat antarabangsa.

Tambahan pula, ekonomi digital dijangka menyumbang sejumlah 25.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara menjelang 2025. Menurut kajian EY baru-baru ini mengenai potensi impak ekonomi 5G, sebanyak RM650 bilion peningkatan KDNK kumulatif dapat dilihat dalam tempoh 10 tahun akan datang, dengan RM150 bilion pada tahun 2031 sahaja.

Lebih kurang 750,000 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi baru akan dicipta menjelang 2030, dan ia akan menjadi satu kelebihan buat Malaysia berbanding negara-negara jiran.

Dalam industri kesihatan misalnya, menjanjikan pulangan lumayan sehingga AS$530 bilion melalui Penjagaan Kesihatan Berkuasa 5G menjelang 2030 manakala dalam bidang urbanisasi moden, pembangunan bandar pintar yang ditenagakan oleh spektrum 5G akan mereformasi tata bermasyarakat daripada pengangkutan tanpa pandu hingga ke petani-petani kecil yang akan didedahkan dengan pertanian moden.

Bidang perubatan, pengangkutan dan perbandaran adalah sektor utama yang menjadi sasaran dalam industri 5G.

Sumber Kewangan Tidak Bergantung kepada Kerajaan

Jumlah kos pelancaran 5G akan dibiayai secara eksklusif oleh sektor swasta, tanpa melibatkan pembiayaan kerajaan atau perbelanjaan pembangunan. Sebahagian besar daripada dana ini akan kekal berada di dalam negara dan diedarkan ke seluruh ekonomi tempatan.

Malah, kebanyakan daripada dana ini akan mengalir ke ekosistem telekomunikasi tempatan. Kementerian Kewangan telah membuat keputusan dengan berhati-hati agar semua pemegang taruh terutamanya kerajaan dan rakyat mendapat manfaat dari keputusan ini.

DNB Menjamin Keselamatan Digital

Langkah kerajaan untuk meneruskan model pembangunan 5G di bawah DNB dengan kerjasama Ericsson adalah tepat dan wajar. Tidak ada ruang harus dibuka kepada syarikat yang tidak mempunyai integriti dalam penyampaian perkhidmatan, apatah lagi disebabkan perbezaan ideologi demokrasi yang menganggap bahawa setiap tidakan mereka adalah bersifat nasionalis dan tidak salah pada kaca mata mereka.

Sebagai tambahan kepada teknologi 5G yang merentas sembilan industri di Malaysia, pastilah akan muncul pelan pencegahan dan tindakan susulan terhadap  kelemahan yang akan muncul pada masa akan datang iaitu keselamatan siber.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah bertindak untuk memastikan satu  garis panduan Piawai Kualiti Perkhidmatan Mandatori untuk semua pihak terlibat sama dalam  penghasilan perkhimatan ini dengan pemantauan berterusan Kementerian Kewangan.

Ketika ini, sebuah pelan yang boleh mengurangkan cabaran dan meningkatkan kelebihan  kepada seluruh masyarakat sudah dipertimbangkan. DNB akan memberikan manfaat kepada pilihan pengguna yang selamat untuk  jangka masa panjang.

Lantikan Tengku Zafrul sebagai Senator keberadaan beliau di dalam Kabinet sebagai menteri teknokrat adalah pengimbang yang tepat untuk pentadbiran negara.

Menteri Kewangan ini tidak hadir dengan konflik politik yang mengeruhkan lagi gerak kerja Kementerian Kewangan. Ternyata DNB merupakan satu mahakarya merentas transisi kerajaan dan beliau adalah arkitek yang kita perlukan dalam kejayaan DNB demi kepentingan rakyat dan kerajaan.

Pembangunan infrastruktur, rangkaian dan pengagihan spektrum bagi operasi dan pelancaran 5G Malaysia sudah berada di tangan yang selamat.

Oleh Azizul Hakim Abd. Aziz
Penganalisis Politik

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Malakat Tribune

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here