Eko-sistem animasi negara perlu pembangunan lebih inklusif

0
61
Muhammad Dzahiruddin

KAJANG – Pembangunan industri animasi negara memerlukan sokongan berterusan daripada kerajaan khususnya dalam membina eko-sistem yang lebih inklusif kepada pemain-pemain industri berkenaan.

Muhammad Dzahiruddin Ahmad Zabidi selaku pengasas bersama Red Circle Studio Sdn Bhd, iaitu syarikat penghasil animasi Robozeta berkata, kebergantungan syarikat animasi kepada bantuan dan sokongan kerajaan masih tinggi kerana pasaran industri yang masih kecil.

Beliau berkata, walaupun negara sudah mempunyai produk animasi yang membanggakan, masih banyak syarikat dalam industri itu yang masih bertungkus-lumus untuk ‘hidup’.

“Pada pendapat saya, permulaan animasi negara adalah sesuatu yang sangat membanggakan dengan adanya Upin Ipin, Omar dan Hana, Didi & Friends, Boboiboy dan sebagainya.

“Tetapi di sebalik kejayaan itu, kita mempunyai banyak lagi syarikat yang menghasilkan animasi berkualiti tinggi tetapi akhirnya ‘tersungkur’ kerana cabaran industri,” katanya ketika ditemui Malakat Tribune, baru-baru ini.

Tim produksi Red Circle Studio yang menghasilkan animasi Robozeta.

Dzahiruddin berkata, masalah paling utama adalah kebergantungan syarikat-syarikat yang baharu bermula kepada bantuan kerajaan semata-mata tanpa disokong ekosistem yang dapat menjana pendapatan secara berterusan.

Justeru, beliau menyeru kerajaan supaya mengkaji semula pelan pembangunan industri animasi negara agar dapat menyediakan peluang lebih inklusif termasuk potensi meluaskan pasaran ke peringkat antarabangsa.

Menurut beliau, bantuan kewangan yang diberikan kerajaan pada ketika ini sememang banyak membantu industri tetapi masih belum memadai untuk pembangunan jangka masa panjang.

“Kerajaan melalui agensi-agensi terlibat perlu memikirkan bentuk bantuan dan juga sokongan demi perkembangan industri ini.

“Misalnya dengan menganjurkan lebih banyak program yang dapat menyemarakkan industri, menghantar penyertaan ke pameran animasi di luar negara, peluang dalam bidang pendidikan dan sebagainya.

“Kami juga berharap potensi animasi negara dapat diperluaskan lagi. Bukan setakat terima geran kemudian berakhir dengan tayangan di syarikat-syarikat televisyen,” katanya.

Dzahiruddin berkata, pemberian geran juga perlu dilakukan secara telus dan berkesan kerana sebahagian daripada penerima terdiri daripada syarikat yang sudah lama bertapak dan berkemampuan dari segi kewangan.

“Kami tiada masalah sekiranya syarikat-syarikat ‘gergasi’ dalam industri masih diberikan dana tetapi jangan jadikan mereka keutamaan setiap kali geran ditawarkan sehingga meminggirkan syarikat yang lebih memerlukan.

“Sebenarnya banyak syarikat animasi terpaksa gulung tikar kerana kekangan kewangan untuk menampung kos produksi. Kebanyakan mereka ‘mati’ selepas siap karya musim pertama atau kedua,” katanya.

Pengurus Produksi, Mohd Hafiz Abd Samad (kanan) yang merupakan individu tunjang dalam pembikinan Robozeta.

Lebih malang lagi katanya, ‘kitaran’ penerimaan geran itu bermula dan berakhir dalam putaran yang sama setiap tahun dan tidak banyak menguntungkan industri secara keseluruhannya.

Bahkan katanya, selepas membelanjakan geran kerajaan, imbuhan yang diterima daripada tayangan di syarikat-syarikat televisyen juga tidak setimpal dengan kos pembikinan.

Mengulas mengenai Robozeta, Dzahirudin berkata, siri animasi yang pernah ditayangkan selama tiga bulan di Astro Ceria itu kini sedang mengintai pasaran antarabangsa selepas sambutan baik termasuk dari luar negara.

“Kami dalam usaha menembusi pasaran Singapura dan Amerika Syarikat cuma masih memerlukan dana untuk menyiapkan lebih banyak musim untuk memenuhi syarat jualan.

“Kini kami juga di peringkat perbincangan dengan ajen jualan yang mahu memasarkan Robozeta ke 46 negara,” katanya yang pernah menerima peruntukan dana dari Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

Robozeta berkisar tentang lima humaniod yang tinggal di bandar Zetania yang bertanggungjawab melindungi cip (Zenochip) dari musuh (Kalabera).

Siri animasi Mecha Robot pertama Malaysia itu menerapkan nilai moral dan pengajaran yang boleh dikaitkan dengan apa yang berlaku dalam masyarakat ketika ini.

Animasi Robozeta yang menampilkan 5 karakter humaniods melawan musuh.

Sementara itu, Dzahirudin berkata, pihaknya mempelawa pihak yang berminat untuk bekerjasama dalam penghasilan dan penjualan produk berkaitan animasi Robozeta (merchandising).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here