Geran Kandungan Digital 2022 kini dibuka

0
15
Annuar Musa . FOTO Bernama.

PUTRAJAYA – Geran Kandungan Digital 2022 melalui Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) yang menawarkan pembiayaan sehingga RM50,000 kini dibuka.

Permohonan sehingga 29 Julai itu dibuka kepada syarikat, perusahaan dan syarikat milikan tunggal atau perkongsian liabiliti terhad (LLP) melalui laman https://mdec.my/dcgprisma2022

Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM), Tan Sri Annuar Musa berkata, geran tersebut ditawarkan untuk tujuan pembangunan kandungan baharu atau sedia ada dalam bentuk animasi, komik digital, media interaktif dan permainan digital.

“Ia merangkumi filem animasi pendek, episod pilot, treler pendek, kandungan untuk pengumuman pesanan khidmat awam (PKA), permainan digital/ media interaktif lengkap (demo atau prototaip) atau komik digital dan komik bergerak lengkap,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Annuar berkata, MDEC komited memastikan industri kreatif menerima sokongan diperlukan untuk kekal berdaya maju, mampan dan kompetitif.

Katanya, pemohon yang terpilih akan dijemput menghadiri sesi pembentangan yang dijadualkan pada Ogos depan sebelum kelulusan diumumkan menjelang September.

“Selepas mendapat kelulusan, penerima geran akan diberikan tempoh selama enam bulan bagi menyiapkan kandungan digital,” katanya.

Sejak tahun 2016, MDEC meluluskan 94 projek bernilai RM36.4 juta kepada syarikat kandungan kreatif digital bagi membiayai penghasilan kandungan di peringkat pembangunan dan memastikan ia mesra pelabur.

Tahun lalu, menerusi Geran Kandungan Digital 2021, MDEC menerima 111 permohonan dan sejumlah RM1.9 juta geran diluluskan yang memberi manfaat kepada 39 pemohon.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here