Guna kad pengenalan palsu lebih 20 tahun, ibu tunggal dipenjara

0
27
GAMBAR HIASAN

AYER KEROH – Seorang ibu tunggal warga Filipina dijatuhkan hukuman penjara tiga bulan setelah didapati bersalah kerana menggunakan kad pengenalan palsu sejak lebih 20 tahun lalu.

Tertuduh, Elenita Maisog, 51, dijatuhi hukuman itu selepas membuat pengakuan bersalah sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Nabiha Mohd Noor, hari ini.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati tanpa kuasa yang sah dan sebab munasabah telah memiliki kad pengenalan palsu atas nama Nuria Rahman yang beralamat di Sungai Udang, Melaka.

Kesalahan itu dikesan Bahagian Siasatan Penguatkuasaan, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) negeri Melaka selepas tertuduh tampil ke pejabat JPN Melaka bagi proses pendaftaran tiga anaknya pada pukul 3 petang, 9 Jun 2022 lalu.

Menurut fakta kes, hasil semakan nombor kad pengenalan berkenaan merujuk kepada individu bernama ‘Sapina’ dan tertuduh mengaku nama sebenarnya adalah Elenita Maisog dan berasal dari Misamis Occidental, Filipina.

Tertuduh didakwa mengikut peraturan 25(1)(e) Akta Pendaftaran Negara 1959 dan Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 dan boleh dihukum di bawah peraturan yang sama.

Bagi kesalahan itu, tertuduh yang bekerja sebagai pembantu kantin sekolah berdepan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda maksima RM 20,000 atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan Pegawai Pendakwa JPN, Ahmad Amirul Ahmad Jamal memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh dengan mengambil kira wanita itu sudah menggunakan kad pengenalan berkenaan sejak 21 tahun yang lalu.

Beliau turut memohon tertuduh diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen selepas selesai tempoh pemenjaraan bagi tujuan pengusiran.

Nabiha pada penghakimannya kemudian menetapkan hukuman penjara tiga bulan dari tarikh ditangkap pada 9 Jun 2022 lalu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here