Harga ayam dijangka naik bulan hadapan

0
29
GAMBAR HIASAN

PUTRAJAYA – Harga ayam dijangka naik pada bulan hadapan apabila ia mula diapungkan ekoran berakhirnya skim harga maksimum runcit ayam pada 30 Jun ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, susulan jangkaan kenaikan harga itu, Kementerian Kewangan (MOF) sedang merangka pemberian bantuan kepada golongan memerlukan, yang akan dimuktamadkan hujung bulan ini.

“MOF akan laksanakan sesuatu untuk bantu mereka yang memerlukan, dalam berdepan dengan kenaikan harga ayam di pasaran,” kata Alexander dalam sidang akhbar selepas majlis perhimpunan bulanan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), di sini hari ini.

Pada masa ini, kerajaan menetapkan harga maksimum runcit ayam dan telur bagi Semenanjung Malaysia bagi ayam bulat standard adalah pada RM8.90 sekilogram dan ayam bulat super (disembelih dan dibersihkan tanpa kaki, kepala, hati dan hempedal) pada RM9.90 sekilogram.

Sebelum ini, pihak penternak dilaporkan berharap kerajaan mengapungkan harga ayam susulan penamatan subsidi kepada mereka. Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata berkuat kuasa 1 Julai, Putrajaya tidak lagi akan memberikan subsidi kepada penternak ayam.

Nanta berkata, penamatan skim harga maksimum ayam bukan bermaksud kerajaan tidak mempedulikan pengguna, tetapi ia boleh menjejaskan industri ternakan ayam dalam jangka masa panjang, termasuk keadaan negara tidak lagi dapat mengeluarkan sumber ayam sendiri dan terpaksa mengimport.

“Sebab itu perlu diteliti secara mendalam, dan seharusnya kita hentikan harga maksima dan bantu pengguna yang berpendapatan rendah cara lain, bukan lagi subsidi pukal,” katanya.

Nanta turut mengingatkan pemain industri supaya tidak menggunakan kesempatan menerusi harga apungan dengan menaikkan harga ayam sewenang-wenangnya.

Apabila harga ayam diapungkan, KPDNHEP akan turut memantau aspek harga dan jika perlu akan menggunakan kuasa di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 sekiranya terdapat peniaga mencatut, yakni mengambil untung suatu barangan atau perkhidmatan secara berlebihan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here