Harga siling ayam yang baharu diumum Rabu

0
12
facebook/Ronald Kiandee

CYBERJAYA – Cadangan penetapan harga siling ayam yang baharu serta kadar subsidi kepada penternak akan dibawa ke Mesyuarat Kabinet pada Rabu ini sebelum diumumkan.

Menurut Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee, isu tersebut sudahpun dibincangkan oleh Jawatankuasa Teknikal Menangani Isu Sekuriti Bekalan Makanan Negara dalam satu mesyuarat, hari ini.

“Harga kawalan baharu ini mengambil kira kepentingan penternak, pemborong dan peruncit bagi memastikan harga yang ditetapkan adalah munasabah bagi semua pihak.

“Bantuan tunai tambahan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) yang diumumkan oleh Perdana Menteri juga telah diambil kira,” katanya dalam satu hantaran yang dimuat naik di laman Facebooknya, hari ini.

Turut hadir dalam mesyuarat itu adalah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Ronald berkata, mesyuarat berkenaan juga mengambil maklum mengenai status semasa bekalan makanan negara dan status harga barangan terpilih serta pelaksanaan intervensi pengukuhan sekuriti makanan negara.

Katanya, bekalan ayam diunjur kekal stabil dan mencukupi pada minggu keempat Jun, selain bekalan komoditi lain turut diunjur stabil dan mencukupi bagi menampung permintaan bulan semasa.

Selain itu, beliau berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna memaklumkan status terkini barangan harga terpilih dan tindakan penguatkuasaan yang diambil terhadap premis yang didapati tidak mematuhi pelaksanaan Penentuan Harga Maksimum bagi Ayam dan Telur.

“Usaha sama rentas kementerian akan diteruskan untuk meminimumkan impak beban kos sara hidup rakyat.

“Kerajaan komited meneruskan usaha bagi memastikan kelangsungan dan kebolehcapaian bekalan makanan di pasaran dengan harga yang berpatutan demi kesejahteraan Keluarga Malaysia,” katanya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here