Hukuman mati masih ada, tertakluk budi bicara mahkamah

0
9
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Keputusan kerajaan memansuhkan hukuman mati mandatori tidak bermaksud pelaksanaan hukuman mati tidak lagi wujud dalam undang-undang negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pemansuhan tersebut hanya akan melibatkan hukuman mati mandatori yang diperuntukkan kepada beberapa kesalahan tertentu.

“Secara prinsipnya kerajaan bersetuju bila Jemaah Menteri bersetuju, maknanya prinsipnya kerajaan tidak akan melaksanakan hukuman mati mandatori.

“Jadi kita akan menjalankan tinjauan awam untuk mengumpul maklum balas daripada rakyat mengenai rancangan pemansuhan itu sebelum membentangkan undang-undang itu ke Dewan Rakyat untuk bacaan kali pertama.

“Jika boleh diselesaikan soalan-soalan (berhubung) pindaan dulu dan dibentangkan, Kabinet dah putus untuk putuskan tentang hukuman mati mandatori pada Oktober nanti,” katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Malaysia ketika ini melaksanakan hukuman mati mandatori terhadap beberapa kesalahan antaranya melibatkan kesalahan terhadap Yang di-Pertuan Agong, mengedar dadah, membunuh dan melakukan perbuataan keganasan, selain beberapa lagi jenayah mengikut budi bicara mahkamah.

Kerajaan pada Jumaat lalu mengumumkan pemansuhan hukuman mati mandatori dengan hukuman gantian tertakluk kepada budi bicara mahkamah.

Keputusan itu dicapai susulan pembentangan Laporan Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori pada 8 Jun lalu.

Jemaah Menteri juga bersetuju terhadap cadangan hukuman gantian diteliti dan dikaji dengan lanjut, ke atas 11 kesalahan yang membawa hukuman mati mandatori, satu kesalahan bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya, dan 22 kesalahan yang membawa hukuman mati tetapi dengan budi bicara mahkamah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here