Ibu dan anak rentung, 2 lagi melecur dalam kebakaran di Seputeh

0
46
Dua beranak ditemukan rentung dalam satu kejadian kebakaran di sebuah rumah banglo tiga tingkat di Tiara Villa Residensi, Taman United, di sini.

KUALA LUMPUR – Dua beranak ditemukan rentung manakala dua lagi ahli keluarga mereka melecur dalam satu kejadian kebakaran di sebuah rumah banglo tiga tingkat di Tiara Villa Residensi, Taman United, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, mangsa seorang wanita yang berusia 62 tahun dan anak perempuannya yang berusia 31 tahun itu ditemukan meninggal dunia di dalam bilik berasingan di tingkat tiga.

Katanya, Jabatan Bomba dan Penyelamat bersama empat jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Seputeh, Pantai, Sri Petaling dan Hang Tuah bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.22 pagi.

“Pasukan penyelamat mengambil masa kira-kira 30 hingga 40 minit untuk memadamkan kebakaran itu.

“Siasatan di tempat kejadian, pasukan penyelamat menemukan dua wanita yang mati rentung,” katanya dalam kenyataan.

Amihizam berkata, pihaknya masih lagi menyiasat punca kejadian.

Katanya, kes itu diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).

Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk proses bedah siasat.

Mereka yang mempunyai maklumat berkaitan kebakaran itu diminta tampil memberi keterangan di mana-mana balai polis berhampiran dengan segera.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here