IHP naik 2.8 peratus

0
11
GAMBAR HIASAN

CYBERJAYA – Indeks Harga Pengguna pada Mei 2022 meningkat 2.8 peratus kepada 126.6 berbanding 123.1 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam satu kenyataan hari ini berkata, kenaikan ini melepasi purata inflasi bagi tempoh Januari 2011 hingga Mei 2022 iaitu 1.9 peratus.

“Daripada 93.0 peratus item yang meningkat dalam kumpulan Makanan, 29.4 peratus meningkat dalam julat kurang daripada 5 peratus, 37.7 peratus meningkat antara 5 hingga 10 peratus manakala 32.9 peratus meningkat lebih daripada 10 peratus.

“Kos makanan yang meningkat ditambah dengan peningkatan permintaan antara punca kenaikan harga ayam pada kali ini,” kata kenyataan itu.

Harga ayam yang merupakan komponen terbesar dalam subkumpulan Daging (46.1 peratus) meningkat sebanyak 13.4 peratus berbanding 7.5 peratus pada April 2022.

“Purata harga ayam pada Mei 2022 adalah RM9.70 sekilogram berbanding RM8.44 pada Mei 2021,” kata kenyataan itu lagi.

Lonjakan harga sayur-sayuran di pasaran ketika ini pula berpunca terutamanya daripada peningkatan harga baja, kos logistik, kekurangan tenaga buruh dan kedaan cuaca.

Sementara itu, harga Makanan di rumah dan Makanan di luar rumah masing-masing meningkat ketara sebanyak 5.5 peratus (April 2022: 4.1 peratus) dan 5.1 peratus (April 2022: 4.4 peratus), dan kenaikan ini turut mendorong kepada kenaikan inflasi makanan.

Subkumpulan Daging mencatatkan peningkatan tertinggi 9.5 peratus pada Mei 2022 (April 2022: 6.2 peratus) disebabkan oleh permintaan tinggi pada musim perayaan.

Ini diikuti oleh kenaikan Sayur-sayuran (8.1 peratus); Susu, keju & telur (8.0 peratus); Ikan & makanan laut (4.3 peratus) dan Minyak & lemak (3.7 peratus).

Sementara itu, kenaikan ketara bagi Makanan di luar rumah dapat dilihat bagi Nasi berlauk (8.3 peratus), Roti canai (7.8 peratus), Makanan berasaskan mee (5.7 peratus) dan Masakan ayam (5.1 peratus).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here