Jangan buat pembelian panik berikutan kekurangan bekalan ubat – MMA

0
10
DR. KOH

CYBERJAYA – Orang ramai diminta supaya tidak melakukan pembelian panik berikutan kekurangan ubat-ubatan tertentu di pasaran.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr. Koh Kar Chai berkata, kekurangan bekalan ubat turut disebabkan oleh ‘permintaan yang belum pernah terjadi sebelum ini’ kerana kadar jangkitan varian Omicron Covid-19 yang tinggi hingga mengejutkan pengeluar dan pengedar farmaseutikal.

Beliau bagaimanapin berharap supaya kekurangan ubat-ubatan tertentu ini dapat ditangani dan bekalan kembali berada di pasaran semula.

“Jika situasi ini tidak diperbetulkan, kemungkinan bekalan ubat lain yang sebelum ini tidak terjejas juga akan terganggu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Persatuan Doktor-Doktor Islam Malaysia (Perdim) telah menyatakan kekhuatiran mengenai kekurangan bekalan ubat-ubatan di klinik-klinik swasta ekoran beberapa pembekal utama tidak dapat memenuhi permintaan.

Presiden Perdim, Dr. Boi Saidi Abdul Razak mendakwa, pembekal memaklumkan masalah ini wujud kerana mereka tidak mendapat bahan mentah yang mencukupi untuk menghasilkan ubat.

Akibatnya, klinik-klinik swasta kini mengalami penyusutan bekalan ubat demam, batuk dan antibiotik.

Mengulas lanjut, Kar Chai meminta orang ramai tidak membuat pembelian panik dan menyimpan ubat-ubatan yang tidak diperlukan kerana ia boleh memburukkan keadaan.

Tambahan pula, katanya, industri farmaseutikal sudahpun bertindak balas terhadap lonjakan permintaan dengan membuat tempahan lebih tinggi untuk produk daripada pengeluar luar negara.

Beliau berkata, pengilang-pengilang tempatan juga telah meningkatkan kapasiti pembuatan namun kapasiti mereka bergantung kepada bahan mentah yang perlu diperoleh dari negara-negara lain.

Memandangkan kekurangan itu merupakan masalah di seluruh dunia, katanya, import kedua-dua produk siap serta bahan mentah telah terjejas.

Pengilang tempatan dihadkan oleh kapasiti mereka untuk meningkatkan pengeluaran, dan mereka “tidak boleh meningkatkan pengeluaran hanya untuk mengatasi kekurangan bekalan di pasaran.”

Selain bahan mentah, kilang pembuatan dibina mengikut spesifikasi tertentu yang mungkin tidak membenarkan sebarang peningkatan mendadak dalam kadar pengeluaran.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here