‘Jangan sampai kami keluar dari Malaysia’ – Sultan Ibrahim

0
94
Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

JOHOR BAHRU – Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, bertitah menggesa kerajaan Persekutuan memberikan peruntukan lebih banyak kepada negeri itu kerana setiap tahun hampir RM13 bilion hasil persekutuan dikutip dari Johor.

Baginda bertitah, menzahirkan perasaan sedih dengan keadaan bangunan Persekutuan yang tidak diselenggara dengan baik seperti Hospital Sultanah Aminah (HSA), Hospital Sultan Ismail (HSI) dan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sultan Iskandar.

Titah baginda, kemudahan Pusat Transformasi Bandar (UTC) juga perlu ditingkatkan dengan sistem penyampaian lebih cekap serta keadaan yang selesa.

“Saya rasa seolah-olah Johor ini dianaktirikan, walhal Johor adalah antara penyumbang utama ekonomi negara.

“Saya menyeru kerajaan Persekutuan segera tunaikan janji untuk menaiktaraf Lebuh Raya Utara Selatan kepada enam lorong dan Lebuh Raya Senai-Desaru menjadi empat lorong sepenuhnya.

“Lihatlah juga keadaan jalan-jalan Persekutuan yang rosak dan berlubang, contohnya jalan Johor Bahru-Mersing yang membahayakan pengguna jalan raya,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika berangkat pada majlis Perasmian Pembukaan Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Yang Ke-15 hari ini.

Berangkat sama, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim, Pemangku Raja pada majlis di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, Iskandar Puteri, Johor Bahru.

Turut berangkat, Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim dan Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim.

Dalam pada itu, Sultan Johor turut menyatakan bahawa kemungkinan Johor akan lebih maju jika berdiri di atas kaki sendiri.

“Jangan sampai rakyat Johor mendesak untuk keluar dari Malaysia,” tegas baginda.

Pada masa sama, Sultan Ibrahim turut menzahirkan kekecewaan dengan keputusan kerajaan Persekutuan pada tahun 2018 untuk membatalkan permohonan rayuan tuntutan Batu Puteh.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here