JDT nafi khabar angin Cabrera bakal kembali sebagai pemain tempatan

0
72
Sepanjang bersama JDT, Cabrera telah menjaringkan 43 gol dalam 90 penampilan.

CYBERJAYA – Pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) menafikan khabar angin yang pasukan itu berhasrat menandatangani semula bekas pemainnya, Gonzalo Cabrera sebagai pemain naturalisasi.

Menurut Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards, JDT mengambil keputusan untuk tidak menandatangani Cabrera memandangkan beliau akan berusia 38 tahun selepas tempoh lima tahun tersebut.

“Saya ingin menyangkal dakwaan yang tular mengenai Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) ingin menandatangani semula Gonzalo Cabrera sebagai pemain naturalisasi.

“Kelab telah membuat keputusan untuk tidak menandatangani Cabrera kerana Malaysia Football League (MFL) mempunyai peraturan bahawa pemain naturalisasi bukan warisan perlu menjadi warganegara Malaysia untuk lima tahun selepas mendapat kerakyatan sebelum boleh didaftarkan sebagai pemain tempatan, melainkan di bawah program naturalisasi kebangsaan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia.

“Oleh itu, JDT mengambil keputusan untuk tidak menandatangani Cabrera memandangkan beliau akan berusia 38 tahun selepas lima tahun tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini terdapat cadangan oleh salah sebuah media untuk menjadikan Cabrera sebagai pemain naturalisasi sekiranya pemain itu kembali menyertai JDT.

Ia selepas pasukan dari selatan itu memuat naik satu gambar dari belakang  di laman media sosial Facebook pasukan yang seolah-olah menunjukkan Cabrera.

Untuk rekod, sepanjang bersama JDT, Cabrera telah menjaringkan 43 gol dalam 90 penampilan bersama Harimau Selatan dan memenangi pelbagai trofi seperti Juara Liga Super sebanyak lima kali (2017-2021), Juara Piala Sumbangsih (2018-2021) dan  Juara Piala Malaysia 2 kali (2017 & 2019).

Selain itu, beliau pernah dinobatkan sebagai pemain terbaik bulanan pilihan PFAM dan kerap berada dalam pencalonan pemain import terbaik untuk Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here