JPA tubuh pasukan khas kaji kerja 4 hari seminggu

0
17
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah

KUALA LUMPUR – Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan menubuhkan pasukan mengkaji sistem bekerja empat hari seminggu di negara ini.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah berkata, kajian itu antara lain akan melihat bidang mana dalam perkhidmatan awam yang bersesuaian untuk pelaksanaan tempoh masa kerja berkenaan serta jumlah waktu bekerja dalam sehari.

Katanya, kajian akan turut melihat aspek pulangan pelaburan, sama ada tempoh waktu bekerja itu relevan untuk dilaksanakan atau tidak.

“Kita sedang buat kajian dan perlu melihat jumlah waktu bekerja, kalau dulu kerja Sabtu, sekarang bagi cuti. Seperti di Eropah, dulu ada dilaksanakan, namun tengok bidang. Ada tuntutan pelbagai pihak untuk kerajaan kaji semula dan kita menubuhkan pasukan bagi tujuan itu.

“Kita ada kadar kerja yang perlu dilihat dan kadar pulangan pelaburan. Tempoh kajian sekejap sahaja, kita minta bahagian dasar turut melihat perkara ini sebelum kenyataan dikeluarkan sama ada ia boleh dilaksanakan atau tidak,” katanya memetik laporan Berita Harian hari ini.

Terdahulu beliau melancarkan Modul Integriti Penguatkuasa (MIP) anjuran Institut Integriti Malaysia (IIM) di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, waktu bekerja empat hari seminggu antara lain memerlukan pekerja pengganti kerana mereka tertakluk kepada jumlah maksimum dan minimum bekerja.

Bagaimanapun, Mohd Shafiq menjelaskan, perubahan tempoh waktu bekerja dalam seminggu tidak memerlukan sebarang pindaan akta sedia ada, namun ia harus berpandukan kepada garis panduan.

Beliau yang juga Ahli Lembaga Pengarah IIM, berkata kerajaan sentiasa ingin memudahkan bidang tugas perkhidmatan awam, namun mereka masih tertakluk kepada keperluan memberi maklum balas terhadap rakyat berdasarkan keanjalan masa bekerja yang diamalkan selama ini.

“Hospital dan klinik, (kakitangan) kena kerja, tak boleh tutup awal kerana di Malaysia, kesihatan adalah di bawah perkhidmatan awam, ada di negara luar, ia (kesihatan) tidak masuk (perkhidmatan awam). Begitu juga dalam aspek pendidikan, kita tidak boleh juga buka sekolah terlalu awal, jam 6 pagi contohnya.

“Jadi semua itu perlu dikaji dan kita perbaiki keadaan tertentu seperti pelaksanaan sistem bekerja dari rumah ketika pandemik Covid-19 sebelum ini,” katanya.

Pada 21 Jun lalu, media melaporkan sejumlah 62 peratus pekerja sepenuh masa di Malaysia lebih gemar fleksibiliti bekerja berbanding hari kerja yang pendek seperti empat hari seminggu. Ia hasil tinjauan oleh Qualtrics, syarikat berpengalaman mengendalikan tinjauan secara dalam talian.

Menurut Qualtrics, pekerja bersikap terbuka terhadap minggu bekerja empat hari seminggu dengan dua pemacu utama kejayaan bagi cara bekerja baharu ialah mengutamakan kesihatan dan kesejahteraan serta memastikan pekerja berjaya dalam persekitaran fizikal dan jauh.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here