Kerajaan bakal perkenalkan harga siling bergerak – PM

0
10

CYBERJAYA – Harga siling bergerak yang berubah kepada faktor harga input bakal menjadi antara langkah kerajaan dalam menjamin sekuriti makanan negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri berkata, langkah itu seiring dengan perancangan bantuan terus bersasar kepada golongan memerlukan seperti yang diumumkan sebelum ini.

Beliau menambah, kerjasama antara kerajaan persekutuan dan negeri juga akan dipertingkatkan dalam usaha meningkatkan keluasan tanah bagi kegunaan pertanian.

“Ini untuk mengurangkan kebergantungan terhadap import makanan.

“Perkara ini akan dibincangkan dengan lebih lanjut dalam mesyuarat dengan menteri besar dan ketua menteri dalam masa terdekat,” kata Ismail Sabri dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau menjelaskan, langkah itu adalah antara keputusan yang dicapai pada mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) yang dipengerusikannya hari ini, dan menurutnya, mesyuarat itu membincangkan tiga perkara utama berhubung kait dengan sekuriti makanan, memudahkan urusan perniagaan di Malaysia, serta menangani tenaga mahir dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E).

Perbincangan itu turut melibatkan pembentangan pihak Khazanah Research Institute (KRI), Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA) dan wakil-wakil industri.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, keputusan lain yang dipersetujui termasuk usaha memperluaskan ekosistem agromakanan dengan rantaian bekalan diterajui syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan agensi kerajaan.

Koordinasi ini, katanya, bagi memastikan kualiti, kuantiti dan pengeluaran hasil ke tahap optimum selain bekalan terjamin.

“Sebagai contoh bekalan dan harga ayam dapat dikawal sekiranya agensi kerajaan berkenaan terlibat dalam ekosistem industri penternakan bermula daripada membekal anak ayam, makanan ternakan, pengangkutan, pemasaran dan sebagainya,” katanya.

Selain itu, katanya, kerajaan juga akan meningkatkan kerjasama awam dan swasta dengan memberi fokus terhadap usaha modenisasi dan menggalakkan pertanian pintar dalam meningkatkan hasil pertanian.

“Inisiatif ini akan disokong melalui usaha menyatukan tanah ladang, tanah terbiar dan tanah wakaf,” katanya.

Tambahnya, bagi memastikan hasil pertanian mempunyai pasaran, program ladang kontrak akan terus digalakkan di mana peladang dan petani tidak mempunyai masalah memadankan pengeluaran hasil pertanian dengan permintaan pasaran.

Ismail Sabri menambah, kerajaan komited terhadap kajian yang berdaya maju dan berpotensi untuk dimanfaatkan secara strategik bagi mendepani cabaran global untuk menjamin ekosistem sekuriti makanan lebih inklusif dan menyeluruh demi kesejahteraan Keluarga Malaysia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here