Kerajaan tubuh Jawatankuasa Sekuriti Makanan – PM

0
6
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempengerusikan Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri yang turut dihadiri oleh Menteri-Menteri Kabinet yang berkaitan.

PUTRAJAYA – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan negeri bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Sekuriti Makanan peringkat negeri dan daerah bagi memastikan pelaksanaan Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara 2021-2025 yang sinergi antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri.

Perdana Menteri berkata, keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri yang turut dihadiri oleh Menteri-Menteri Kabinet yang berkaitan.

“Dalam mesyuarat hari ini kerajaan negeri juga bersetuju untuk melaksanakan inisiatif-inisiatif berikut seperti meningkatkan keluasan tanah yang sesuai khususnya tanah milik negeri untuk aktiviti pertanian dengan dan mewartakan kawasan tanah pertanian sebagai tanah rizab di bawah Seksyen 62 Kanun Tanah Negara (KTN) dan kemudiannya memajakkan tanah rizab berikut di bawah Seksyen 63 KTN untuk tempoh sekurang-kurangnya 10 sehingga 21 tahun.

“Selain itu, memperkasakan pemberian tanah milik negeri kepada anak syarikat kerajaan negeri berkaitan pertanian yang kemudiannya akan memajakkan tanah tersebut kepada usahawan tani untuk tempoh 30 tahun.

“Pihak berkuasa negeri boleh, tertakluk kepada kaedah-kaedah tanah negeri meluluskan tempoh sekurang-kurangnya tiga tahun dan boleh dilanjutkan seterusnya bagi setiap Lesen Pendudukan Sementara (TOL), mengekalkan pengezonan kawasan jelapang padi, pewartaan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) dan membangunkan TKPM yang terbengkalai serta yang belum dimajukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, katanya, kerajaan negeri juga perlu mengekalkan pewartaan Zon Industri Akuakultur (ZIA) sedia ada dan mewartakan ZIA yang belum diwartakan selain menyelaras bersama pihak berkuasa tempatan bagi memudahkan syarat dan proses kelulusan Kebenaran Merancang (KM) pembangunan sistem reban ayam tertutup dan aktiviti agromakanan yang lain.

Pada masa sama, katanya, turut dipersetujui adalah dengan menubuhkan Jawatankuasa Pembangunan Tanah Pertanian Peringkat Daerah bagi memudah cara urusan membangunkan tanah pertanian milik persendirian yang tidak diusahakan dan menetapkan kadar caj abstraksi bagi sumber air tawar dan air masin yang lebih rendah untuk sektor agromakanan.

“Kerajaan persekutuan bersetuju untuk mempertimbangkan cadangan pengurangan atau pengecualian cukai terhadap industri agromakanan. Kementerian Kewangan akan memberikan perincian lanjut.

“Sementara itu, mesyuarat ini juga telah membuat keputusan untuk menubuhkan Jawatankuasa Khas Penyeragaman Kos Caj dan Fi bagi Pembangunan Infrastruktur Komunikasi di Peringkat Negeri.

“Penubuhan jawatankuasa ini adalah bagi mengkaji dan mencadangkan mekanisme
penyeragaman kos caj dan fi yang dikenakan bagi pembangunan infrastruktur komunikasi di seluruh negara,” ujarnya.

Beliau berkata, langkah itu diambil selepas pemantauan dibuat oleh Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) mendapati kos caj dan fi yang dikenakan oleh pihak berkuasa negeri, pihak berkuasa tempatan, agensi pusat sehenti dan agensi berkaitan di seluruh negara adalah berbeza.

Katanya, penyeragaman kos caj dan fi itu akan menggalakkan pihak penyedia perkhidmatan meningkatkan pelaburan dalam penyediaan infrastruktur komunikasi secara menyeluruh di kawasan bandar dan luar bandar.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here