Kerat 15 tubuh ibu: Suspek alami masalah mental – Polis

0
44
Datuk Mior Faridalathrash Wahid

IPOH – Seorang lelaki yang mengerat tubuh ibunya sendiri di sebuah rumah di Taman Kerian, Parit Buntar dipercayai mempunyai kaitan dengan masalah mental.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, polis yakin suspek mempunyai masalah mental dan sudah menahan dia semalam.

“Kita membuat permohonan reman pagi ini dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya memetik laporan Harian Metro hari ini.

Semalam, polis menahan seorang lelaki susulan penemuan 15 potongan daging menyerupai anggota badan manusia dalam tangki kumbahan di sebuah rumah di Taman Kerian.

Mior Faridalathrash berkata, bau busuk luar biasa yang dihidu oleh jiran membawa kepada penemuan mayat mangsa.

“Kita mendapat panggilan daripada jiran mengatakan bau busuk yang luar biasa mengakibatkan pihak polis bergegas ke tempat kejadian.

“Apabila kita pergi ke belakang rumah dan melihat ada papan lapis yang digunakan untuk menutup saluran lubang najis, kita jumpa body (cebisan mayat) di dalam itu.

“Jadi kita menganggap kes ini selesai dan kita akan merujuk kertas siasatan kepada Pejabat Peguam Negara untuk mendapat arahan selanjutnya,” katanya.

Beliau berkata, pihak forensik menjalankan siasatan di tempat kejadian turut menjumpai bukti lain.

“Pihak forensik menjumpai antaranya peralatan yang digunakan untuk membunuh mangsa.

“Kita mempercayai suspek bertindak mengetuk kepala mangsa dulu kemudian baru mengerat,” katanya.

Menurutnya, kes bermula apabila anak perempuan mangsa membuat laporan polis mengenai kehilangan ibunya pada 28 Mei lalu.

“Mangsa berusia 68 dan suspek berusia 42 tahun tinggal bersama. Anak yang lain akan menghubungi ibu mereka setiap hari tetapi pada 28 Mei lalu, telefon dijawab oleh suspek yang mengatakan mangsa keluar rumah dan tidak pulang.

“Ia menyebabkan seorang daripada anak mangsa membuat laporan polis dan kita menjalankan siasatan sebagai orang hilang,” katanya.

Beliau berkata, pegawai penyiasat yang pergi ke rumah berkenaan sebelum itu mendapati keadaan kediaman tidak terurus berikutan mangsa dan suspek terbabit dalam urusan barangan terpakai.

“Jadi rumah berselerak dan bau pun agak tidak menyenangkan,” katanya.

Katanya, hasil siasatan mendapati suspek tiada rekod jenayah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here