KKM keluar kompaun RM93,350 bagi kesalahan merokok 

0
10
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) mengeluarkan kompaun berjumlah RM93,350 kepada individu serta pemilik premis atas pelbagai kesalahan merokok di sini, malam tadi.

Menurut Pengarah Bahagian Kawalan Penyakit KKM, Datuk Dr Norhayati Rusli, 335 notis kompaun yang dikeluarkan adalah mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004.

“Notis itu dikeluarkan menerusi operasi bersepadu penguatkuasaan tembakau dan hasil tembakau ke atas 263 premis yang diperiksa di sekitar ibu negara.

“284 notis dikeluarkan bagi kesalahan pelanggaran Peraturan 11(1) PPKHT, iaitu kesalahan merokok di kawasan larangan, manakala 28 notis dikeluarkan bawah Peraturan 12(1)(b) terhadap pemilik atau penghuni premis yang gagal memastikan tiada kegiatan merokok di dalam premis.

“14 notis kompaun dikeluarkan terhadap tuan premis yang tidak mempamerkan papan tanda larangan merokok; tujuh lagi notis membabitkan larangan merokok terhadap orang belum dewasa; dan masing-masing satu notis kegagalan mempamerkan larangan jualan tembakau kepada bawah umur serta jualan tembakau tanpa amaran kesihatan bergambar,” katanya memetik laporan Berita Harian.

Dalam pada itu, Dr Norhayati memaklumkan hasil operasi berkenaan, sebanyak 20 karton rokok dan 156 peket rokok tidak bercukai dirampas kastam mengikut Seksyen 135 (1)(a) Akta Kastam 1967, manakala KPDNHEP merampas 147 peket rokok tiruan atas kesalahan dagangan palsu mengikut Seksyen 5 Akta Perihal Dagangan 2011.

“DBKL turut mengeluarkan dua notis kompaun bagi kesalahan mengambil atau menggajikan pekerja warga asing tanpa permit kerja yang sah dan satu notis kompaun kerana berniaga tanpa lesen,” ujarnya lagi.

Operasi bersepadu itu berlangsung selama kira-kira lima jam mulai jam 6 petang dengan disertai 220 anggota daripada KKM, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here