
CYBERJAYA – Beberapa kumpulan muzik ‘Underground’ dan berpengaruh bakal beraksi pada festival pemotoran Art Of Speed Malaysia (AOSM) yang akan berlangsung di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) pada 2 Julai ini.
Antara yang bakal membuat persembahan di pentas SoundCircus Festival 2020 itu adalah Hujan, Sekumpulan Orang Gila, the Times, Armpunk Sindicate, Kumpulan Tangan Hitam, Prasasti, Monotones dan banyak lagi.
Pengarah Festival Art of Speed Malaysia, Asep Ahmad Iskandar berkata, sempena ulang tahun ke 10 penganjuran AOSM, pihaknya menjangkakan sambutan lebih hangat pada tahun ini selepas penangguhan akibat pandemik Covid-19.
Katanya, seperti penganjuran tahun-tahun lalu, AOSM merupakan platform untuk penggiat dan peminat dunia pemotoran, modifikasi, seni, pengkarya muzik, penghobi dan pengumpul barang vintaj berkumpul dalam satu acara penuh meriah.
“Festival selama dua hari ini mendapat sokongan Tourism Malaysia di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya melalui Pelan Pemulihan Pelancongan 2022 yang dilancarkan oleh Datuk Seri Nancy Shukri dengan tema Cuti-Cuti Malaysia 2022 dalam usaha menyemarakkan pelancongan domestik,” katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas mengenai persembaan kumpulan muzik pada festival itu, Asep berkata, pemilihan dibuat berdasarkan suara kolektif komuniti yang kemudian disenarai pendek oleh AOSM.
“Pemilihan band adalah berdasarkan suara kolektif komuniti yang telah disenarai pendekkan oleh pegawai AOSM dalam lingkungan 20 dan 30-an yang peka dengan perkembangan muzik semasa.
“Mereka (artis atau band) dipilih berdasarkan trend lagu semasa, profil band, kesesuaian lagu dengan tema acara, dan yang paling penting, cara penyampaian lagu semasa persembahan,” katanya.
Tiket Sound Circus Festival anjuran AOSM ini dijual pada harga bermula RM90 (telah habis dijual) dan tiket kombo berharga RM110.