Lim Guan Eng terima ‘coklat’ RM2 juta – dedah saksi

0
18
Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (ZCSB), Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli mengakui di Mahkamah Sesyen hari ini, beliau menggunakan orang tengah untuk menyerahkan RM2 juta yang diberi kod nama ‘coklat’ kepada Lim Guan Eng, kerana takut untuk memegang wang tunai dalam jumlah banyak.

Zarul Ahmad yang juga saksi pendakwaan ke-23 berkata, sumbangan itu adalah sebahagian daripada wang permintaan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang berkenaan iaitu 10 peratus keuntungan projek syarikat dianggarkan RM30 juta, lapor Harian Metro.

Katanya, Guan Eng memintanya menggunakan perantara jika ingin memberikan wang itu kerana tidak mahu membabitkan ahli perniagaan berkenaan akibat bimbang dipantau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Berikutan itu, beliau mencadangkan ahli perniagaan dan ‘orang’ Barisan Nasional (BN) dikenali Gnanarajah atas faktor mempunyai kekebalan kerana mengenali Perdana Menteri pada masa berkenaan iaitu Datuk Seri Najib Razak serta bekas Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamad Nazri Aziz.

“Guan Eng pun setuju. Susulan itu, saya berhubung dengan Gnanarajah dan memberitahu mengenai hasrat untuk menggunakan beliau sebagai perantara untuk membuat bayaran kepada Guan Eng.

“Pada Mei hingga Ogos 2017, saya menghubungi Gnanaraja untuk berjumpa dan berbincang mengenai penyediaan sebuah syarikat Special Purpose Vehicle (SPV).

“Saya memaklumkan kepadanya saya memerlukan perantara untuk membayar wang rasuah kepada Guan Eng. Ini kerana pada masa itu, saya sudah takut untuk memegang dan menyimpan wang tunai banyak kerana dalam perhatian SPRM. Saya juga turut dikecam dan ditohmah oleh beberapa pihak lain.

“Gnanaraja juga maklum bahawa saya adalah kontraktor dianugerahkan Projek 3 Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang, manakala Guan Eng pula Ketua Menteri pada masa itu,” katanya ketika membaca penyataan bertulis di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mengenai RM2 juta itu, Zarul Ahmad berkata, beliau memaklumkan kepada seorang lelaki dikenali Azli Adam untuk mengeluarkan wang itu, pada 17 Ogos 2017.

“Selepas urusan projek saya selesai di Pulau Pinang, saya ada menghubungi dan memaklumkan kepada Gnanaraja yang saya ingin bertemu dengannya pada keesokan hari.

“Saya juga beritahu Gnanaraja ingin menyerahkan ‘coklat’ kepada Gnanaraja untuk diberikan kepada ‘big boss’ (Guan Eng) melalui WhatsApp. Coklat itu bermaksud wang tunai,” katanya.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan didakwa atas dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik kerajaan Pulau Pinang yang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri itu.

Beliau dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Tingkat 21, Bangunan Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR), pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017.

Guan Eng turut didakwa atas tuduhan pindaan iaitu sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan bagi dirinya sendiri wang berjumlah RM3,300,000 dengan mengambil tindakan bagi membantu syarikat milik Zarul Ahmad yang dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang yang bernilai RM6,341,383,702.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, KOMTAR, Georgetown, Pulau Pinang.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Guan Eng didakwa ketika menjawat jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang meminta suapan iaitu balasan berjumlah 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh kelak daripada Zarul sebagai upah bagi melakukan perkara yang dicadangkan iaitu membantu syarikat milik ahli perniagaan berkenaan dilantik untuk projek sama.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, di sini pada Mac 2011, antara 12.30 tengah malam hingga 2 pagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here