Lim Guan Eng ‘tersenyum’ terima wang rasuah – dedah saksi 

0
24
Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Seorang kontraktor memberitahu Mahkamah Sesyen di sini, beliau memberikan wang tunai berjumlah RM200,000 kepada Lim Guan Eng sekitar 2013 dan 2014 bertujuan mengotakan janji selepas syarikatnya diberikan projek pembinaan terowong dasar laut dan jalan utama di Pulau Pinang.

Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli memberitahu, wang itu sebahagian daripada rasuah yang diminta oleh Guan Eng melibatkan nilai 10 peratus daripada hasil keuntungan bersih yang diperoleh syarikatnya kerana mengendalikan projek itu yang dianggarkan bernilai RM6.3 bilion, lapor Utusan Malaysia.

Menurut Zarul Ahmad, 62, dalam pertemuan pada Ogos 2013, beliau menyerahkan wang tunai RM100,000 dalam sampul bersaiz A4 kepada Guan Eng selepas satu perbincangan di tingkat 28, KOMTAR.

“Saya tidak beritahu berapa banyak wang yang diserahkan dan hanya menyatakan `this is for u Sir’. Beliau mengambilnya dan saya beredar. Beliau cuma tersenyum ketika menerima sampul itu,” ujarnya.

Zarul Ahmad menjelaskan, ketika wang itu diberikan, perjanjian awalan telah ditandatangani dan wang itu yang bersumber daripada CZBUCG disifatkan sebagai pemberian penting.

Kontraktor itu turut menyatakan, sebanyak RM100,000 lagi yang merupakan wang milik syarikatnya Vista Lestari Development Sdn. Bhd. diberikan kepada Guan Eng dalam pertemuan di pejabatnya di KOMTAR sekitar Januari 2014 menjelang sambutan Tahun Baru Cina.

“YB Guan Eng tidak bertanya kandungan sampul tersebut dan juga tidak menolaknya. YB kelihatan gembira menerimanya,” ujar saksi itu ketika membacakan pernyataan saksi pada perbicaraan terhadap Ahli Parlimen Bagan itu.

Saksi pendakwaan ke-23 itu menyatakan, wang tersebut diperoleh daripada sebilangan pelabur terdiri daripada ahli perniagaan berjaya dan beliau menyimpannya dalam bentuk tunai untuk diberikan kepada Guan Eng.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung esok.

Guan Eng didakwa atas pertuduhan pindaan menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang RM3.3 juta sebagai tindakan membantu syarikat milik Zarul Ahmad dilantik melaksanakan projek itu yang bernilai RM6.3 bilion.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di antara bulan Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, KOMTAR.

Dia didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Selain itu, beliau didakwa terhadap tuduhan pindaan meminta suapan iaitu balasan berharga berupa 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh Zarul Ahmad sebagai upah membantu syarikat miliknya dilantik melaksanakan projek itu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di antara pukul 12.30 pagi dan 2 pagi, pada bulan Mac 2011 berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini.

Ahli Parlimen Bagan itu turut didakwa atas dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di sana.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here