MAFI mahu tingkat adaptasi teknologi dalam pertanian

0
33
Dr. Ronald Kiandee (dua dari kiri) diberikan penerangan mengenai produk agromakanan yang dipasarkan oleh syarikat Idea Company Sdn Bhd. di Batu Caves, Gombak hari ini.

GOMBAK – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) sentiasa mengalu-alukan penggunaan teknologi terkini dalam sektor pertanian khususnya melalui kerjasama antara sektor awam dan swasta.

Menterinya, Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, kerajaan sentiasa terbuka untuk bertukar idea dan membentuk perkongsian pintar dalam kalangan pemain sektor itu termasuk melalui kerjasama perniagaan dengan syarikat antarabangsa.

“Kami di MAFI telah membangunkan hala tuju dasar baharu melalui Dasar Agro-Makanan Negara 2021-2030 (NAP 2.0) dan Pelan Tindakan Dasar Keselamatan Makanan Negara 2021-2025.

“Ia termasuk usaha melibatkan pakar-pakar dalam pertanian untuk mengadaptasi teknologi yang dapat memudahkan pengeluaran tanaman,” katanya pada majlis menandatangani Memorandum Perjanjian (MoU) antara syarikat produk pertanian tempatan iaitu Idea Company Sdn Bhd dengan Hoogendoorn Growth yang berpangkalan di Belanda.

Perjanjian perniagaan itu ditandatangani oleh Pengarah Urusan Idea Company, Zachary Aman dengan Pengurus Besar Asia Hoogendoorn Growth, Wierd Vonk.

Majlis turut disaksikan Timbalan Duta Besar dan Ketua Bahagian Ekonomi Belanda ke Malaysia, Eva Oskam.

Zachary Aman (kiri) bersama Wierd Vonk (kanan) bertukar dokumen MoU disaksikan oleh Dr. Ronald Kiandee (tengah) dan Eva Oskam (dua dari kiri).

Dr. Ronald berkata, antara objektif yang diberi penekanan dalam NAP 2.0 adalah permodenan indutri dan pertanian pintar sebagai alat yang akan menjayakan transformasi sektor agromakanan.

“Kita mesti berada di hadapan dalam industri dengan menerima idea-idea baru dan berani. Industri agromakanan memerlukan usahawan tani muda dengan perspektif dan semangat baharu untuk membangunkan kaedah perniagaan yang inovatif,” katanya.

Dr. Ronald Kiandee melihat sebahagian daripada produk yang dipasarkan oleh JustGood Grocer iaitu jenama milik Idea Company Sdn Bhd.

Mengulas mengenai MoU itu, Dr. Ronald menyambut baik jalinan kerjasama itu sebagai satu lagi langkah yang dapat membawa lonjakan industri pertanian negara ke peringkat antarabangsa.

“Saya dimaklumkan bahawa perkongsian ini bertujuan untuk mewujudkan ekosistem pertanian yang menggalakkan pembinaan kapasiti, kajian dan penyelidikan (R&D) untuk meningkatkan hasil tanaman, dan penggunaan Internet of Thing dalam sektor tersebut.

“Saya percaya kerjasama strategik ini akan menyediakan peluang yang baik pada masa sama menggalakkan perpindahan pengetahuan, mengoptimumkan rantaian bekalan, mengurangkan kos dan membangunkan teknik pertanian baharu,” katanya.

Justeru beliau berharap usahasama itu akan membuahkan hasil dalam masa terdekat dan memberi inspirasi kepada lebih banyak pihak lain untuk menjalin hubungan strategik seperti itu.

Sementara itu, Zachary Aman berkata, MoU mengenai teknologi pertanian berketepatan tinggi dan pintar itu itu menandakan permulaan kerjasama unik antara entiti Malaysia dengan Belanda yang merupakan antara negara pengeksport hasil pertanian terbesar dunia.

Majlis menandatangani MoU antara Idea Company Sdn Bhd dengan Hoogendoorn Growth yang berpangkalan di Belanda, hari ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here