Mangsa maut akibat hentakan tumpul di kepala

0
39

IPOH – Hasil bedah siasat ke atas mayat wanita yang ditemukan dibakar di tepi Sungai Kuala Kangsar, di Kampung Talang Hulu di Kuala Kangsar, Selasa lepas mendapati punca kematian adalah hentakan di kepala dengan kesan melecur yang teruk.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, bedah siasat dan pemeriksaan pergigian ke atas mayat itu dijalankan di Unit Forensik Hospital Kuala Kangsar bermula pukul 9 pagi hingga 3 petang semalam.

“Hasil bedah siasat yang dijalankan oleh Pakar Perubatan Forensik mendapati sebab-sebab kematian adalah ‘blunt trauma to the head with severe burns’.

“Hasil pemeriksaan oleh Pakar Forensik Pergigian pula mendapati pergigian si mati dengan perbandingan maklumat rekod pergigiannya adalah besar kemungkinan si mati merupakan penama,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Sebelum ini, Mior Faridalathrash dilaporkan berkata, satu mayat wanita berusia 21 tahun dipercayai dibunuh ditemukan dalam keadaan terbakar apabila polis menerima panggilan daripada orang awam mengenai penemuan itu pada kira-kira 3.05 petang Selasa lepas.

Adik lelaki mangsa berusia 19 tahun turut membuat laporan mengenai kehilangan wanita itu dipercayai berkaitan dengan penemuan mayat terbakar berdasarkan beberapa barangan dipakai mangsa.

Pada Rabu, polis menemukan seketul batu konkrit yang mempunyai kesan darah berhampiran mayat wanita terbabit yang dipercayai senjata digunakan untuk mencederakan kepala mangsa.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here