Menteri Belia dan Sukan tidak faham bola sepak – Muqharabbin

0
50
Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin

KUALA LUMPUR  – Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin menyifatkan kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkenaan pemain Harimau Malaya hilang fokus kerana sorakan penyokong adalah tidak matang dan seolah-olah tidak memahami konsep permainan bola sepak.

Menurut beliau, mengapa penyokong perlu dipersalahkan sedangkan mereka hadir untuk memberikan sokongan kepada Harimau Malaya.

“Ultras Malaya berjam-jam bersorak dan menyanyikan lagu semangat agar pemain terus mengekalkan rentak permainan sehingga tamat perlawanan.

“Awak duduk di bangku VVIP pun bersorak juga. Kenapa nak salahkan penyokong-penyokong lain? Kalau tidak tahu membuat kenyataan, baik diam,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau turut memuji sikap semua penyokong yang hadir,  meskipun dalam keadaan hujan lebat, namun mereka tetap hadir memberikan sokongan padu.

“Lagi-lagi ekor Harimau Malaya iaitu Ultra Malaya yang hadir seawal 5 petang mempersiapkan segala gendang perang agar dapat meningkatkan semangat pemain bola sepak negara.

“Apapun, pujian harus kita berikan kepada pasukan Harimau Malaya kerana berjaya memberikan aksi terbaik walaupun keadaan padang yang basah,” ujarnya lagi

Terdahulu, media melaporkan Faizal berkata, faktor luaran seperti kehadiran 63,000 penonton di stadium ketika perlawanan berlangsung turut menjadi punca kerana ia boleh menyebabkan pemain negara hilang fokus.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here