MOTAC beri amaran senarai hitam pihak terlibat tipu badal haji

0
22
Mekah semasa covid
Masjidilharam tempat umat Islam dari seluruh dunia menunaikan ibadah haji.

CYBERJAYA – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) memberi amaran mengenakan tindakan undang-undang dan menyenarai hitamkan pihak terlibat dalam penipuan berkaitan pakej haji dan umrah, khususnya upah melakukan badal haji.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, walaupun pihaknya masih belum menerima sebarang laporan mengenai penipuan badal haji, langkah pemantauan sentiasa diambil bagi mengelak pihak tertentu mengambil kesempatan.

“Sebelum ini kita memang ada mendengar mengenai penipuan badal haji ini, tetapi setakat ini belum terima sebarang laporan lagi.

“Bagaimanapun, (sekiranya ada) kita boleh ambil tindakan mahkamah kerana tindakan yang mereka lakukan keterlaluan, tidak mengikut terma dan syarat pelesenan itu,” katanya hari ini.

Menurut laporan BH Online, media sebelum ini melaporkan beberapa agensi haji dan umrah menawarkan khidmat mengerjakan badal haji musim ini dengan pelbagai pakej dan bayaran murah antara RM1,700 hingga RM3,000 seorang.

Tawaran harga itu dilihat meragukan serta tidak sepadan disebabkan beberapa peraturan ketat ditetapkan Kerajaan Arab Saudi bagi ibadah umrah dan haji.

Ini berikutan untuk mengupah penduduk bermastautin di Arab Saudi melakukan ibadah itu, mereka perlu mempunyai permit untuk memasuki Arafah dengan bayaran SR12,000 (RM14,000) seorang berbanding sebelum ini SR2,500 (RM2,900) saja.

Selain itu, terdapat gelang khas yang perlu dipakai jemaah haji untuk melepasi pintu di Arafah bagi mengelakkan lambakan jemaah haji di kawasan tersebut.

Badal haji boleh ditakrifkan sebagai ibadah haji yang diupah kepada seseorang untuk dilaksanakan sebagai ganti kerana halangan tertentu seperti sakit, usia tua (uzur) atau kematian ke atas orang yang seharusnya mengerjakan haji.

Orang yang melaksanakan haji badal pula disyaratkan sudah melaksanakan haji untuk dirinya terlebih dahulu.

Nancy berkata, lebih 1,000 agensi pelancongan sedang memohon lesen bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), namun ia perlu melalui beberapa proses sebelum ia boleh diluluskan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here